Menteri, Jakim tidak boleh keluar kenyataan keputusan muzakarah MKI

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.- Gambar fail: Bernama
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.- Gambar fail: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan-keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ini kerana ia berada di bawah bidang kuasa baginda selaku Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI dan Majlis Raja-Raja.

Titah baginda, Jakim hanya bertindak sebagai urus setia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.

"Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah.

"Sebaliknya, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

"Setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja, pelaksanaan keputusan muzakarah diserahkan kepada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama Islam setiap negeri," titah baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah Klang pada Sabtu.

Titah baginda, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan timbalannya bukan ahli MKI mahupun ahli Jawatankuasa Muzakarah.

"Justeru, mereka tidak boleh mencampuri apa-apa keputusan Jawatankuasa Muzakarah dan MKI," titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Berhubung isu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani, baginda bertitah, keputusan muzakarah telah mendapat sembah maklum Majlis Raja-Raja pada 4 Januari lalu dan keputusan tersebut boleh merujuk menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Datuk Wan Zahidi Wan Teh pada Jumaat.

Wan Zahidi Wan Teh pada Jumaat memberitahu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani dibenarkan untuk diamalkan oleh pengikutnya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah serta uruf setempat.

Menurutnya, kebenaran itu diputuskan MKI kali ke-117 pada tahun 2020.

Oleh itu, keputusan terdahulu pada tahun 2000 berkaitan Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah ini tidak lagi terpakai.