Tolong kurangkan kos upah amah...

Foto 123rf (Gambar kecil dari kiri: Yong Hooi, Alizam)
Foto 123rf (Gambar kecil dari kiri: Yong Hooi, Alizam)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa) terkejut dengan penetapan bayaran gaji minimum RM1,500 kepada pembantu rumah Indonesia yang akan bekerja di negara ini kerana ia membelakangi cadangan asal iaitu RM1,200.

Presidennya, Datuk Foo Yong Hooi berkata, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan sebelum ini menyatakan bahawa Malaysia mencadangkan gaji minimum pekerja asing ditetapkan bermula dari RM1,200 tanpa sebarang had diletakkan.

Beliau berkata, jika gaji minimum RM1,500 dilaksanakan, ia bermakna majikan terpaksa menanggung kos keseluruhan sehingga RM2,825 sebulan menyamai gaji graduan.

“Jika benar gaji minimum RM1,500 ditetapkan, ia berlainan dengan apa yang dimaklumkan oleh menteri dan pegawai-pegawai kementerian. Ia akan menimbulkan kebimbangan kerana majikan terpaksa menanggung kos yang besar.

“Andai kerajaan tetap dengan pendirian itu, Malaysia harus bertegas dengan menetapkan harga yang jauh lebih murah untuk dibayar kepada agensi Indonesia.

“Sebelum ini, gaji pembantu rumah asing ini RM1,100, namun agensi di Indonesia bising (usul bantahan) dan mendakwa sukar untuk mendapatkan pembantu rumah kerana gaji kecil.

“Jadi, dengan harga yang begitu tinggi, gaji yang perlu dibayar agensi Indonesia harus diturunkan,” katanya pada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Yong Hooi, walaupun gaji minimum ialah RM1,500, namun majoriti majikan perlu menanggung kos lain yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Jangan lihat kepada gaji RM1,500 sahaja, tetapi jika ditambah gaji pada hari cuti iaitu RM75 sehari, yang mana empat kali sebulan, sudah menjadi RM1,800. Ditambah lagi dengan bayaran kepada agensi iaitu RM15,000. Andai dibahagikan kepada 24 bulan, bermakna tambahan RM625 sebulan.

“Tambahan bayaran makanan dan minuman dan keperluan lain, sekurang-kurangnya RM400.

“Maksudnya, kos mengambil amah sebulan tidak kurang daripada RM2,825. Itu yang menjadi bebanan besar dan kebimbangan kewangan untuk keluarga yang mengambil amah, khususnya bagi golongan M40,” ujar beliau.

Pada 1 April lalu, kerajaan Indonesia dan Malaysia mencapai kesepakatan penyelesaian draf memorandum persefahaman (MoU) penempatan dan perlindungan perkhidmat domestik Indonesia (PDI) di Malaysia.

Difahamkan, antara peraturan MoU itu adalah penetapan gaji minimum RM1,500 yang akan dikenakan ke atas majikan Malaysia bagi melindungi pekerja domestik atau amah.

Selain itu, tambahan lima peratus daripada jumlah gaji yang belum dibayar akan ditambah sebagai pampasan sekiranya gaji tidak dibayar tepat pada masanya dan kegagalan berterusan membayar gaji selama dua bulan berturut-turut memberi hak kepada pekerja untuk menamatkan kontrak pekerjaan.

Sementara itu, Yong Hooi mencadangkan agar kerajaan mencari resolusi dengan membenarkan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) membawa masuk pembantu rumah sambilan.

“Jika sebuah keluarga yang mempunyai unit kondominium berkeluasan kira-kira 1,000 hingga 1,400 kaki persegi, mereka tidak memerlukan pembantu rumah tinggal bersama.

“Kalau mereka upah pembantu rumah yang bekerja dua kali seminggu, katakan sekali RM100 ke RM200, sebulan hanya melibatkan kos RM800. Itu lebih jimat untuk majikan dan ada yang membantu untuk mengemas rumah dan sebagainya.

“Majikan juga tidak terikat untuk membayar kepada agensi.

“Lebih baik kita betulkan keadaan ini demi kebaikan negara dan menjimatkan tukaran wang asing,” jelasnya.