Op Carilamat tiga penyelam ditangguhkan petang ini

Peta lokasi kedudukan empat penyelam warga asing yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, semalam. Foto Bernama
Peta lokasi kedudukan empat penyelam warga asing yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, semalam. Foto Bernama
A
A
A

MERSING - Operasi Carilamat bagi mengesan tiga penyelam warga asing yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, dekat sini, tengah hari semalam, ditangguhkan petang ini.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, operasi berkenaan yang bermula 7 pagi tadi ditangguhkan sehingga 6.30 petang ini berikutan tiada petunjuk baharu serta keadaan cuaca menyebabkan penglihatan terhad.

Beliau berkata, agensi terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Gerup Gerak Khas (GGK) Kem Iskandar Mersing, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Perikanan.

"Pada operasi hari ini, kita fokuskan pencarian melalui selaman membabitkan tujuh penyelam daripada JBPM dan 14 daripada GGK, namun esok kita akan fokus dengan aset yang ada.

"Bagaimanapun, kita memang ada aset sepanjang masa di tengah laut di sekitar perairan Mersing yang membantu operasi dan menyelamat secara berterusan," katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Nizam berkata, beliau difahamkan tiga penyelam terbabit tidak mempunyai lampu yang menyukarkan lagi penemuan terutama pada waktu malam.

"Saya mendapat maklumat daripada penyelam yang terselamat tadi (Kristine Grodem), mereka tidak mempunyai lampu atau pun beacon, oleh itu kemungkinan untuk kita lihat pada waktu malam agak rendah, " katanya.

Terdahulu, Grodem, 35, warga Norway, ditemukan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi ini.

Artikel Berkaitan:

Usaha untuk mencari baki tiga lagi mangsa iaitu Alexia Alexandra (18, warga Perancis); Adrian Peter (46, warga British) dan anaknya, Nathen Renze (14, warga Belanda), disambung pagi esok. - Bernama