Peluang temui tiga lagi penyelam dalam keadaan selamat tinggi: Polis

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri) mendengar penerangan daripada Cyrill (kanan) di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing hari ini, mengenai kehilangan empat penyelam warga asing di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman semalam. - Foto Bernama

A
A
A

MERSING - Peluang menemukan tiga lagi penyelam warga asing yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, di sini, dalam keadaan selamat adalah tinggi, kata Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan pengalaman ketiga-tiga penyelam itu iaitu Adrian Peter, 46, yang merupakan warga Britain dan anak lelakinya Nathen Renze, 14, warga Belanda serta warga Perancis Alexia Alexandra,18, selain mereka juga masih memiliki peralatan dan kelengkapan selam sebelum dilaporkan hilang.

"Mengikut keterangan yang diberikan mangsa (yang selamat) tadi, ketiga-tiga mangsa yang lain berjaya timbul (ketika kursus selaman dilakukan).

"Oleh itu, kita percaya peluang untuk temukan mereka dalam keadaan hidup (selamat) adalah amat besar berdasarkan pengalaman yang mereka ada berserta mempunyai peralatan dan kelengkapan selam," katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing di sini hari ini.

Kristine Grodem, 35, (atas kiri) yang merupakan jurulatih selam warganegara Norway; Alexia Alexandra, 18, (atas kanan) warga Perancis; Adrian Peter, 46, (bawah kiri) warga British dan anaknya, Nathen Renze, 14, warga Belanda. - Foto Bernama

Cyril berkata, ketiga-tiga mangsa juga merupakan penyelam berpengalaman dan mempunyai rekod lebih 50 selaman dan sedang menjalani kursus latihan untuk Advanced Open Waters.

Bagaimanapun, beliau bimbang terdapat faktor lain dikhuatiri boleh menghalang usaha menyelamatkan mangsa termasuk keadaan semasa cuaca selain keadaan yang berpotensi menjejaskan penyelam seperti dehidrasi dan hipotermia.

Terdahulu, jurulatih selam Kristine Grodem, 35, dari Norway ditemukan selamat selepas hanyut 30 batu nautika dari lokasi kejadian oleh sebuah bot tunda pada 8.15 pagi tadi.

Artikel Berkaitan:

Cyril berkata, hasil siasatan terhadap Grodem mendapati jurulatih selam itu dan ketiga-tiga penyelam berkenaan membuat selaman pertama selama 45 minit sebelum timbul di permukaan.

"Pada selaman kedua, mereka naik (timbul) selepas 20 minit. Grodem kemudian menyedari arus kuat dan cuba memanggil tekong tetapi tidak didengari memandangkan mereka hanyut jauh kira-kira 500 meter dari lokasi bot berada," katanya.

Grodem kemudian cuba berenang ke Pulau Lima untuk meminta bantuan namun arus kuat menghalang wanita itu ke sana selain turut memisahkan dia dengan tiga penyelam lain.

"Jurulatih ini terapung di permukaan laut dengan kelengkapan menyelam sejak 12 tengah hari semalam sebelum diselamatkan hari ini," katanya.

Op Carilamat hari ini membabitkan 90 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi terlibat dengan menggunakan 18 bot dan dua helikopter. - Bernama