Ismee tidak letak jawatan dari 1MDB kerana yakin kepimpinan Najib

Ismee - Foto fail Bernama
Ismee - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Khamis berkata yang beliau tidak meletakkan jawatan dari syarikat itu kerana yakin dengan kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam 1MDB, disebabkan urus niaga dana kekayaan negara dengan Arab Saudi.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, 58, yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif (CEO) Tabung Haji (TH) dari 2006 hingga 2016 berkata, beliau berpandangan bahawa usaha sama antara syarikat itu dan Arab Saudi akan mendatangkan manfaat.

Perkara ini terjadi, meskipun terdapat ketidakpatuhan pengurusan 1MDB membabitkan usaha sama antara syarikat itu dengan syarikat pengeluaran minyak dan gas yang berpangkalan di Arab Saudi Petrosaudi Internaional Ltd pada September 2009 yang telah membangkitkan kemarahan bekas Pengerusi 1MBD, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram telah merujuk kepada saksi minit mesyuarat pada 26 September 2009, di mana lembaga pengarah telah memberikan beberapa ketetapan mengenai kerja sama itu, namun tidak dipatuhi oleh pihak pengurusan.

Mohd Bakke meletakkan jawatannya tidak lama selepas itu iaitu 19 Oktober 2009.

Tambah Ismee, ketika beliau baru menyertai 1MDB pada tahun 2009, beliau berpandangan bahawa ia sesuatu transaksi yang baik untuk syarikat dalam kapasitinya sebagai CEO Tahun Haji, ia suatu inisiatif yang baik bagi meningkatkan lagi hubungan dengan Arab Saudi.

"Pada masa itu saya mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi dalam kepimpinan, pada PM (Najib) sendiri, kepercayaan dan kesetiaan, jadi sebab itu saya tidak lakukan ‘tindakan Bakke’”, kata Ismee.

Saksi pendakwaan ke-13 itu merujuk kepada tindakan Mohd Bakke yang meninggalkan syarikat pada 2009.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi saksi, bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir tidak bersetuju dengan cadangan peguam, Datuk Hariharan Tara Singh bahawa kesetiaan beliau bukan untuk 1MDB ataupun anak syarikatnya, tetapi kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi ke-12 pendakwaan itu, telah disoal mengenai AS$1.58 bilion yang telah dipindahkan keluar dari 1MDB Global Investments Ltd (1MDB GIL) seperti diarahkan oleh Jho Low.

Hariharan: Adakah anda setuju dengan saya, kesetiaan sepatutnya kepada 1MDB, 1MDB GIL dan bukannya orang luar (Jho Low)?

Azmi: Saya percaya beliau (Jho Low) mewakili pemegang saham (Najib).

Mahkamah diberitahu bahawa AS$1.58 bilion telah digunakan untuk pelaburan luar yang tidak dijelaskan.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 April. - Bernama