Tular dua lelaki dipukul beramai-ramai

KLANG - Tular di media sosial memaparkan dua lelaki dipukul beberapa individu dalam kejadian di Jalan Haji Abdul Aziz, Persiaran Masjid Pulau Indah di sini pada Selasa.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dikesan polis menerusi satu video berdurasi 23 saat yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya mengesahkan kejadian berkenaan berlaku pada tarikh dan lokasi terbabit.
Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.
"Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Sulaimi Alawi @ Shaari menerusi talian 014-5719405 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-33762222.
"Orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

