Adakah PH berani batalkan MoU, soal MP Pasir Gudang

Hassan berkata, PH wajar mengkaji semula komitmennya terhadap MoU Transformasi dan Kestabilan Politik jika RUU Anti Lompat Parti tidak dibentang di Parlimen 11 April ini.
Hassan berkata, PH wajar mengkaji semula komitmennya terhadap MoU Transformasi dan Kestabilan Politik jika RUU Anti Lompat Parti tidak dibentang di Parlimen 11 April ini.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) wajar mengkaji semula komitmennya terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik jika Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti tidak dibentang dalam sidang khas Parlimen pada 11 April ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana RUU Anti Lompat Parti adalah teras dan intipati dalam MoU berkenaan.

"Majlis Presiden PH pernah menyatakan kepada umum bahawa jika kerajaan gagal melaksanakan RUU Anti Lompat Parti, maka MoU akan dibatalkan.

"Jadi, sekarang adalah 'moment of truth' kepada Majlis Presiden PH. Adakah mereka masih berpegang dengan pendirian berani mereka itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kabinet tidak bersetuju dengan pembentangan RUU Anti Lompat Parti yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat 11 April ini.

Jelas Dr Wan Junaidi, RUU berkenaan tidak akan dibentangkan pada sidang khas akan datang sebaliknya akan dihantar semula untuk kajian lanjut mengenai definisi 'lompat parti'.

Mengulas lanjut, Hassan mempersoalkan muslihat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika tidak mahu membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada sidang khas tersebut.

Jelas beliau, sekiranya Pindaan Perlembagaan Persekutuan sahaja yang dibentangkan pada 11 April nanti, langkah itu tidak akan membawa makna apa-apa sekiranya Anti Lompat Parti tidak dibentang sama di Parlimen.

"Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan dalam masa empat atau lima bulan akan datang. Tanpa ada Akta Anti Lompat Parti berkuat kuasa maka gejala lompat-melompat parti akan berulang lagi.

Artikel Berkaitan:

"Yang boleh mencegah kejadian ahli Parlimen daripada melakukan lompat parti ialah jika ada undang-undang yang keras dan tegas mencegahnya dalam bentuk Akta Anti Lompat Parti," katanya.

Menurutnya, sekadar pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 (c) atau Perkara 48(6) tidak akan menakutkan ahli-ahli Parlimen yang disifatkan beliau sebagai oportunis untuk melompat parti.

"Mereka hanya akan takut sekiranya ada Akta Anti Lompat Parti yang sedia untuk bertindak dan berkuat kuasa terhadap mereka," katanya.