'Itu hak masing-masing' - Steven Sim

Steven ketika ditemui media di Kuala Kubu Baharu pada malam Isnin.
Steven ketika ditemui media di Kuala Kubu Baharu pada malam Isnin.
A
A
A

HULU SELANGOR - Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya pembangkang berhasrat memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya jika Pang Sock Tao menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Sabtu ini.

Penyelaras Kempen PH, Steven Sim berkata, ini kerana mana-mana parti mempunyai hak untuk berbuat demikian sekiranya beranggapan ada pihak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Itu hak masing-masing untuk melaporkan (tapi) dakwaan (PH guna aset kerajaan bagi tujuan kempen) tidak tepat. Saya datang dengan kenderaan sendiri.

"Saya sebagai Penyelaras Kempen PH (sahkan) kita tidak (guna aset kerajaan)," katanya kepada pemberita ketika hadir program Mengingati YB Lee Kee Hiong di pekarangan Galeri Seni Sastera, Kuala Kubu Baharu di sini pada malam Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Perikatan Nasional (PN) memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya ekoran mendakwa PH menyalahgunakan aset kerajaan dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Isnin bagaimanapun dilapor berkata, petisyen itu akan dikemukan bergantung kepada keputusan pilihan raya.

PRK DUN Kuala Kubu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan majoriti 4,119 undi.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam, 10 Mei.

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!