MDPT bincang batal kelulusan KM tanah lapangan terbang

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PARIT - Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) akan mempertimbangkan keperluan untuk membatalkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) di tanah lapangan terbang di Seri Iskandar di sini.

Yang Dipertua MDPT, Mohd Syukri Azari berkata, kelulusan itu telah diberikan pada Jun 2020 kepada sebuah syarikat swasta yang membeli tanah tersebut.

Menurutnya, perkara itu bagaimanapun akan dirujuk dan dibincangkan dalam mesyuarat penuh MDPT dalam tempoh terdekat.

"Kami akan berbincang untuk mempertimbangkan perkara ini dengan mengambil kira implikasi undang-undang dan kepentingan awam sebelum sebarang keputusan diambil.

"Terbaharu, kita ada menerima permohonan pelan kerja tanah daripada pemaju minggu lalu tetapi belum dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC),” katanya ringkas ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Mohd Syukri berkata, setakat ini tiada sebarang kerja-kerja fizikal dilakukan di kawasan seluas 1,267.8 hektar itu.

"Tiada apa-apa aktiviti pembangunan dilaksanakan di tapak yang dicadangkan untuk dijadikan taman perindustrian itu.

"MDPT akan memberikan nasihat kepada pemaju untuk berunding sekiranya ada aktiviti pembinaan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media melaporkan MDPT mempunyai kuasa menangguhkan kebenaran merancang yang diluluskan bagi pembangunan di atas tanah tersebut seperti yang digesa Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Perak.

Isu penjualan tanah lapangan terbang terbabit timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah berkenaan sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan bahawa penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan terbabit.

Pada Rabu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad memaklumkan pihaknya telah memulakan siasatan berhubung penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar susulan laporan yang dibuat ADUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi.