Dialog Shangri-La: 'Tiada keperluan untuk berucap'

Mohamad Hasan - Foto Bernama
Mohamad Hasan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa tiada keperluan untuk beliau berucap pada sidang kemuncak Dialog Shangri-La di Singapura baru-baru ini sebaliknya lebih mementingkan perbincangan dua hala bersama pemimpin negara lain.

Beliau berkata, perbincangan bilateral di antara menteri-menteri pertahanan dan kepimpinan angkatan tentera pada sidang itu dilihat lebih berkesan bagi menyampaikan pendirian Malaysia berkenaan isu pertahanan dan keselamatan negara berbanding berucap di khalayak umum.

"Bila kita buat sesi pleno ataupun sidang kemuncak, kita berucap, kebanyakan pemimpin negara tiada dalam tu yang ada cuma orang ramai yang menghadirinya, pelajar dan lain lain.

"Bagi saya, saya utamakan perbincangan dua hala dan saya berjaya mengadakan (berbincangan dua hala) dengan 13 negara, antaranya...dengan Setiausaha Pertahanan Amerika, Menteri Pertahanan China dan banyak negara Eropah yang berminat untuk mengetahui pendirian Malaysia berkenaan dengan keadaan di Indo Pasifik, Selat Taiwan dan di Laut China Selatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Laman Media (pusat media) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di sini pada Sabtu.

Mohamad mengulas kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mempersoalkan keputusan Ahli Parlimen Rembau itu yang tidak berucap di sidang kemuncak Dialog Shangri-La di Singapura pada hujung minggu lalu.

Menurut Mohamad, sesetengah perkara membabitkan pertahanan tidak sesuai diketengahkan kepada khalayak umum sebaliknya lebih baik dibincangkan secara dua hala bersama individu-individu berkepentingan.

"Kadang-kadang tentang pertahananan ini, kita tidak boleh jadikan sebagai forum awam, pendirian negara kita itu bolehlah, itu pun saya buat kenyataan.

"...tapi benda-benda lain lebih baik kita mengadakan perbincangan bilateral, itu lebih mendatangkan faedah daripada kita bercakap yang mendengarnya (cuma) pelajar-pelajar universiti dan orang-orang perseorangan sahaja," katanya.

Sementara itu, beliau turut berharap agar ahli-ahli UMNO tidak terganggu dengan 'cakap-cakap' daripada mereka yang telah dikenakan tindakan gantung atau dipecat daripada parti.

"Seperti yang saya ucapkan pada ucapan perasmian persidangan sayap-sayap tempoh hari, kita tak mampu lagi berpecah-pecah, kita tak mampu lagi berselisih dan berpuak-puak.

"Kurangkanlah sindir-menyindir antara satu sama lain, jika ada cadangan dan pandangan untuk kebaikan parti ataupun menegur parti, gunakan saluran yang sedia ada dalam parti untuk kita bincangkan dan kita perbaiki apa jua kelemahan," katanya. - Bernama