Empat lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh di Seri Kembangan

Anbalagan
Anbalagan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang lelaki di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, mereka yang berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan di tepi Jalan Songket, Taman Maznah, dekat Klang, awal pagi Rabu.

"Semakan mendapati kesemua suspek berasal dari Seri Kembangan dan mempunyai rekod jenayah dengan seorang daripada mereka turut mempunyai rekod melibatkan kes narkotik.

"Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan dan motif kejadian dipercayai berpunca akibat rasa tidak puas hati yang menimbulkan dendam,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Ahad, media melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun ditemukan mati dengan kesan tetakan di muka, leher dan tangan dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam pada kira-kira 5.56 pagi di hadapan sebuah kedai makan di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

Anbalagan berkata, susulan penahanan suspek, polis turut merampas sebuah Proton Wira Aeroback warna kelabu yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai digunakan semasa kejadian kes bunuh tersebut.

Beliau berkata, kesemua mereka yang didapati negatif terhadap dadah kini direman hingga 12 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: