Maqis rampas sosej babi berpenyakit di KLIA

Maqis Selangor merampas sosej daging babi seberat 10 kilogram di KLIA, Sepang pada 26 Mac lalu.
Maqis Selangor merampas sosej daging babi seberat 10 kilogram di KLIA, Sepang pada 26 Mac lalu.
A
A
A

SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas sosej daging babi yang cuba dibawa masuk oleh seorang wanita warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 26 Mac lalu.

Maqis Selangor dalam kenyataan berkata, wanita itu ditahan dalam pemeriksaan bagasi pihaknya pada jam 3 petang

"Pihak Maqis menemukan sosej seberat 10 kilogram (kg) bernilai RM350 dalam bagasi wanita berkenaan.

"Beberapa sampel telah diambil daripada sosej daging babi tersebut bagi diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar (MKAV) dan hasil ujian mendapati sosej itu positif untuk pengesanan penyakit African Swine Fever (ASF).

"Prosedur ujian ini dilakukan bagi mencegah penularan wabak penyakit dan dikhuatiri jika tidak dikawal boleh menyebabkan industri ternakan babi negara terjejas," katanya pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, kesemua sosej yang dirampas akan dilupuskan mengikut Prosedur Operasi Piawaian yang telah ditetapkan.

Tegasnya, Malaysia mengenakan larangan membawa masuk produk babi dari negara yang mengalami wabak penyakit ASF termasuk penumpang di laluan udara yang membawa bagasi 'hand carry' bagi menghalang risiko kemasukan penyakit ASF dapat dicegah.

"Virus ASF ini tidak akan menjangkiti manusia. Ia hanya menjangkiti babi, sama ada babi peliharaan atau babi hutan.

"Penyakit ASF sangat mudah merebak dan mampu menyebabkan kadar kematian yang sangat tinggi sehingga 100 peratus dalam segerombolan babi peliharaan di mana ia boleh melumpuhkan industri ternakan babi dalam masa yang singkat," katanya.

Justeru, katanya, penyampaian maklumat mengenai penyakit ASF ini akan dipertingkatkan agar rakyat Malaysia dan pelancong dari luar negara peka mengenai larangan yang dikenakan ke atas pengimportan dan kemasukan produk babi ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"'Quarantine Bin' di lapangan terbang telah disediakan bagi memudahkan penumpang membuang produk yang dikawal atau dilarang masuk secara sukarela.

"Mana-mana penumpang yang melanggar peraturan itu akan diambil tindakan perundangan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," ujarnya.