500 petugas kawal aksi City Boys, Harimau Selatan

Imbas kembali aksi Piala Malaysia KL City menentang JDT pada tahun lalu. - Foto Facebook Kuala Lumpur City
Imbas kembali aksi Piala Malaysia KL City menentang JDT pada tahun lalu. - Foto Facebook Kuala Lumpur City
A
A
A

HAMPIR 500 petugas melibatkan pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU), polis, Unit K-9 selain anggota polis berpakaian preman bakal mengawasi aksi Liga Super, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard, kesemua petugas itu akan bertugas sepanjang perlawanan bagi memastikan keselamatan para pengunjung yang menyaksikan perlawanan berkenaan.

Malah katanya, sebanyak empat hingga lima mesyuarat turut diadakan dalam memastikan keselamatan di sekitar kawasan stadium berkenaan berada pada tahap terbaik.

“Jumlah petugas kali ini agak besar seperti persiapan Piala Malaysia sebelum ini, kita akan cuba melakukan yang terdaya untuk menjamin keselamatan pengunjung.

“Tetapi sebenarnya, kita cuba apa yang boleh bagi memastikan segala pemantauan terhadap penjagaan keselamatan ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Perlawanan The City Boys menentang Harimau Selatan disifatkan sebagai perlawanan tumpuan Liga Malaysia (Liga-M) minggu ini apabila melibatkan pertembungan dua finalis Piala Malaysia musim lalu.

Mengulas mengenai insiden kekecohan penyokong yang berlaku di pekarangan stadium berkenaan pada 5 Mac lalu, Stanley berkata, pihak polis telah menahan reman pihak terbabit.

Malah katanya, polis juga telah bertemu mereka yang terbabit dua minggu lalu bagi memberikan peringatan supaya tidak mengulangi perbuatan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

“Polis sudah kenal pasti dan telah pun menahan reman mereka yang terlibat. Polis pun sudah jumpa mereka dua minggu lalu.

“Jadi, ini mungkin peluang terakhir mereka, kalau berlaku lagi mungkin banned agak panjang dan bertahun-tahun tak boleh hadir ke stadium,” katanya.

Mengenai isu tunggakan gaji KL City, Stanley berkata, isu berkenaan telah pun selesai sepenuhnya apabila tunggakan gaji Januari, Februari dan Mac telah pun diselesaikan.

Justeru katanya, penyelesaian perkara berkenaan juga dapat membantu meningkatkan lagi semangat para pemain untuk mempamerkan aksi terbaik berdepan Harimau Selatan.

“Saya rasa para pemain akan beraksi dengan penuh semangat untuk perlawanan ini dan selaras dengan fasa endemik ketika ini, saya juga mengharapkan para penyokong dapat membanjiri stadium bagi memberikan sokongan kepada pasukan bukan sahaja di Cheras sahaja, tetapi di semua venue Liga Malaysia,” katanya.