Tujuh kelab Liga Super dapat lampu hijau AFC

No Image Caption
A
A
A

TUJUH kelab Liga Super kini boleh melakukan persediaan lebih awal untuk bersaing dengan jagoan bola sepak Asia khasnya dalam pentas Liga Juara-Juara Asia 2023/24.

Perkhabaran gembira itu setelah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan tujuh kelab tersebut menerima Lesen Kelab AFC 2023 daripada badan induk bola sepak Asia berkenaan.

Sebagai rekod, saingan bola sepak kelab di bawah kendalian badan induk itu ialah Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.

Tujuh kelab Liga Malaysia tersebut adalah juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Selangor FC, Terengganu FC (TFC), Sabah FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kuala Lumpur City FC dan Penang FC.

Difahamkan sebelum ini sebanyak 11 kelab Liga Super telah menghantar permohonan manakala tiga lagi dikhabarkan masih belum berhasrat mendapatkan lesen berkenaan.

Bagaimanapun, AFC hanya meluluskan tujuh permohonan kelab tersebut selepas melepasi semua proses tapisan teliti kriteria lesen badan induk berkenaan.

Sebagai rekod, juara Liga Super sembilan kali berturut-turut selain pemenang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia, JDT, TFC dan Sabah FC akan beraksi di pentas Asia musim ini.

Harimau Selatan kendalian Esteban Solari akan kembali berentap dalam saingan Liga Juara-Juara Asia manakala skuad Penyu asuhan Tomislav Steinbruckner dan The Rhinos pimpinan Datuk Ong Kim Swee akan menyingkap tirai saingan Piala AFC.

Difahamkan beberapa kriteria seperti personel dan pentadbiran, undang-undang, sukan, infrastruktur, perniagaan dan kewangan yang menjadi penilaian untuk kelab mendapatkan lesen tersebut.

Kelulusan diberikan AFC kepada tujuh kelab ini juga secara tidak langsung merupakan pengiktirafan terhadap keseriusan pasukan ke arah memacu profesionalisme entiti masing-masing ke tahap lebih tinggi.