City Boys bijak gunakan peluang

Bojan Hodak
Bojan Hodak
A
A
A

KETUA Jurulatih Kuala Lumpur (KL) City FC Bojan Hodak, berkata kemenangan 2-1 pasukannya ke atas Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini malam tadi, disebabkan keupayaan pemainnya memanfaatkan peluang di hadapan gawang lawan.

Hodak berkata, skuad bimbingannya juga kelihatan turun dengan penuh yakin dan bermain dengan baik malam tadi, sehingga membolehkan KL City membawa pulang tiga mata penuh.

"Kita bermain amat baik, khususnya pada 25 minit pertama perlawanan di mana kita mengawal sepenuhnya permainan dan mencipta beberapa peluang keemasan, sehingga berjaya menghasilkan gol pertama.

"Selepas itu, mungkin kerana pemain beraksi terlalu tertekan, kita cepat kehilangan bola sehingga membuka ruang kepada Sri Pahang menyamakan kedudukan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan malam tadi, penyerang import City Boys Tchetche Kipre membuka tirai jaringan seawal minit kelima, sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti oleh pemain pertahanan Stefano Brundo pada minit ke-57.

Kapten KL City Paulo Josue kemudiannya mengecewakan peminat Tok Gajah, apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-75.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang Fandi Ahmad mengakui persembahan anak buahnya agak lembab pada awal perlawanan, menjadi antara faktor kekalahan.

"Ada pemain kurang aktif di atas padang, menyebabkan kita melakukan pertukaran bagi menyuntik semangat pada babak kedua dan mereka beraksi lebih baik, tapi malangnya mereka (KL City) berjaya mencetak gol kedua,” katanya. - Bernama