‘Tetapkan harga siling makanan’

Mohd Yusof
Mohd Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan boleh menetapkan harga siling bagi harga makanan yang telah dimasak untuk mengelakkan peniaga menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata tiada penetapan harga menyebabkan jualan makanan bagi setiap peniaga berbeza dan ada yang menjualnya dengan kadar yang tinggi.

“Buat masa ini memang makanan sedia masak yang dijual di bazar Ramadan atau restoran tidak ada garis panduan harga. Jadi, jika tidak ada garis panduan harga, memang peniaga boleh meletakkan harga sesuka hati.

“Munasabah sekiranya kerajaan boleh menetapkan satu set harga maksimum atau harga siling contohnya seperti harga sepinggan nasi yang menggunakan beras Super Special Tempatan atau juadah tertentu.

“Namun, penetapan harga ini tidak boleh hanya ditetapkan pada bulan Ramadan sebaliknya perlu diteruskan sepanjang masa bagi mengelakkan timbul kekeliruan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa bazar Ramadan seluruh negara mendapati wujud trend peningkatan beberapa juadah lauk pauk dan kuih muih.

Dalam masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui kerajaan agak sukar untuk mengawal harga makanan yang telah dimasak berikutan tiada garis panduan berhubung perkara itu setakat ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mungkin boleh difikirkan dalam melaksanakan undang-undang kecil kawalan harga juadah di kawasan mereka.

Artikel Berkaitan:

“PBT mempunyai kuasa untuk menetapkan garis panduan kerana lesen premis yang diberikan kepada peniaga adalah di bawah PBT. Mungkin ada perbincangan yang boleh dilakukan dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan sebagainya untuk melihat perkara ini,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui untuk menetapkan harga siling tersebut sangat rumit kerana melibatkan banyak perkara dan kemungkinan bahan yang digunakan oleh setiap peniaga itu berbeza.

“Malah, harga bahan mentah pun mungkin berbeza setiap hari. Jadi, sukar untuk peniaga atau kerajaan meletakkan harga siling tersebut kerana pada akhirnya akan memberikan kesan kepada hasil yang diterima oleh peniaga,” beritahunya.