Projek KXP: Mukhriz gesa Sanusi beri perjelasan

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor digesa memberikan penjelasan segera berhubung pembayaran pengambilan tanah projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) oleh Kumpulan ECK.

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana kumpulan ECK didakwa belum membuat sebarang pembayaran berhubung projek KXP berkenaan yang dibangunkan secara bersama dengan kerajaan negeri.

Katanya, sebelum ini ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah pada November 2021, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa Kumpulan ECK akan membayar RM2.0 bilion untuk tujuan pengambilan tanah.

"Walau bagaimanapun saya kemudiannya mendapat pengesahan bertulis daripada kerajaan negeri bahawa Kumpulan ECK sehingga kini tidak membuat sebarang bayaran kepada pihak KXP Airportcity Holdings Sendirian Berhad (KXPACH) mahupun kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Dakwanya, tempoh bayaran tersebut sangat penting kerana kerajaan negeri telah pun meletakkan tanah yang dikenalpasti di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960.

"Ia menghalang sebarang transaksi ke atas tanah tersebut antara pemilik tanah dengan mana-mana pembeli dan sekatan Seksyen 4 ini hanya berkuatkuasa selama dua tahun sahaja," katanya.

Mukhriz yang juga Presiden Parti Pejuang Tanah Air turut mendakwa, ketika kerajaan negeri atau KXPACH tidak menerima sebarang pembayaran dari Kumpulan ECK mahupun Ivory Properties.

"Situasi ini membuktikan (Datuk Seri) Muhammad Sanusi dan kepimpinannya tidak cekap serta tidak mengamalkan tadbir urus yang baik untuk membangunkan negeri Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Malah keputusan-keputusan yang telah dibuat merugikan Kedah dan membantutkan pembangunan infrastruktur perhubungan penting bagi wilayah Utara," katanya.