Tahan dua lelaki, rampas 803 biji pil kuda

Zaizul Rizal (tengah) menunjukkan sebahagian daripada pil kuda yang dirampas semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Puteh pada Selasa.
Zaizul Rizal (tengah) menunjukkan sebahagian daripada pil kuda yang dirampas semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Puteh pada Selasa.
A
A
A

PASIR PUTEH - Polis merampas 803 biji pil kuda selepas menahan dua lelaki dalam serbuan di Selising, di sini pada Khamis lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 32 dan 45 tahun itu ditahan semasa berada dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV pada jam 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, hasil pemeriksaan ke atas beg milik salah seorang suspek membawa kepada penemuan tiga bil pil kuda dan satu botol berisi heroin.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan utiliti sukan (SUV) itu telah menjumpai bungkusan plastik mengandungi 800 biji pil kuda di bahagian ruang penyimpanan barang di tempat duduk hadapan pemandu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Puteh di sini pada Selasa.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM8,030.

Zaizul Rizal (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum serta barang rampasan dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Selising, Pasir Puteh.
Zaizul Rizal (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan daun ketum serta barang rampasan dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Selising, Pasir Puteh.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai 17 rekod lampau berkait narkotik dan dua rekod jenayah.

Zaizul Rizal berkata, suspek kedua pula mempunyai empat rekod narkotik hasil semakan yang dilakukan dan kes disiasat bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zaizul Rizal berkata, dalam satu lagi serbuan pada hari yang sama di kawasan Selising, polis turut merampas 50 bungkus air ketum, 1,600 biji pil epam dan 50 kilogram daun ketum.

"Serbuan jam 4.40 petang itu, kita turut menahan seorang lelaki berusia 20 tahun untuk membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, nilai rampasan pil epam, air dan daun ketum dianggarkan berjumlah RM20,200.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.