Pelajar 17 tahun ditahan miliki 6,000 biji pil kuda

Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun ditahan miliki 6,000 pil kuda.
Dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun ditahan miliki 6,000 pil kuda.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dan merampas sebanyak 6,000 biji pil yaba atau pil kuda di Rantau Panjang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kedua-dua mereka ditahan di belakang sebuah restoran makanan segera di daerah itu kira-kira jam 10 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati remaja berkenaan merupakan pelajar di sebuah sekolah di Hulu Selangor manakala seorang lagi berumur 33 tahun bekerja sebagai buruh.

"Kedua-dua mereka kini direman selama tujuh hari bermula Sabtu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, semakan mendapati suspek berusia 33 tahun mempunyai dua rekod lampau berkaitan narkotik.

"Susulan tangkapan melibatkan pelajar tersebut, polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak serta akan mengambil tindakan tegas bagi menangani jenayah ini," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti yang menyalahi undang-undang boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di talian 09-7932222.