Maritim Malaysia kesan modus operandi terbaharu nelayan asing

Bot nelayan Vietnam yang berjaya ditahan Maritim Malaysia Terengganu.
Bot nelayan Vietnam yang berjaya ditahan Maritim Malaysia Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu mengesan modus operandi terbaharu nelayan asing yang menggunakan lesen kargo untuk tujuan menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, taktik itu terbongkar susulan penahanan empat bot nelayan Vietnam berserta 46 awak-awak termasuk tekong pada 31 Mac lepas.

Menurut beliau, ketika ditahan bot tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Natuna ke Vietnam dan berhenti di perairan Terengganu untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan.

"Kesemua mereka (nelayan Vietnam) gagal mengemukakan dokumen diri serta surat kebenaran menangkap ikan yang sah di negara ini ketika diminta.

"Malah lesen kargo yang dikemukakan juga sebenarnya masih dalam proses permohonan dan kita sedang menyiasat lebih lanjut tentang perkara terbabit dengan agensi yang berkenaan," katanya pada sidang media di ibu pejabat Maritim Negeri Terengganu, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, modus operandi tersebut bagi mengelak bot mereka daripada disita dan hukuman denda lebih berat dikenakan terhadap mereka.

Sementara itu, Muhammad Suffi berkata aktiviti pencerobohan oleh nelayan Vietnam di perairan negeri Terengganu dilihat semakin berkurangan pada tahun ini.

Bermula Januari hingga hari ini, kata beliau, hanya tujuh tangkapan bot nelayan asing dibuat berbanding 40 bot bagi tempoh sama tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

"Kami percaya penurunan ini adalah disebabkan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas oleh kerajaan Vietnam terhadap nelayan mereka yang menceroboh perairan," katanya. - Bernama