Balu Allahyarham Jamaludin Jarjis fail pinda tuntutan saman harta

Jamaludin Jarjis
Jamaludin Jarjis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Puan Sri Kalsom Ismail balu bekas menteri Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter memfailkan permohonan pindaan berhubung pernyataan tuntutan saman terhadap lima anak dan ibu mertuanya membabitkan harta sepencarian kira-kira RM1 bilion, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa.

Peguam Syarie, Datuk Sulaiman Abdullah yang mewakili Kalsom selaku plaintif berkata demikian selepas sebutan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Hadi Hamat.

Beliau berkata, pindaan berkenaan adalah membabitkan beberapa aset hartanah.

“Permohonan anak guam bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk meminda tuntutan saman itu akan didengar 17 Mei depan,” katanya.

Sementara itu, Peguam Syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili ibu Allahyarham Jamaludin, Aminah Abdullah, 88, berkata, antara pindaan itu ialah membuang perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat.

“Selain itu ialah memasukkan saham dalam Syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan arwah (Jamaludin) semasa sakit kaki dan memasukkan isu berkaitan tanah di Selangor,” katanya.

Beliau yang mewakili Aminah selaku defendan kelima berkata, plaintif (Kalsom) telah memfailkan permohonan itu pada 25 Mac lalu.

Kalsom, 66, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi serta beberapa saham syarikat tempatan pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla, dan Aminah sebagai defendan pertama hingga kelima.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 April 2015, Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi, Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.