Sindiket pinjam wang menyamar 'kenalan' godam Telegram

Kamarudin
Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan yang menyamar sebagai kenalan untuk meminjam wang daripada mangsa dikesan mula menggodam akaun Telegram persendirian untuk meminta wang daripada senarai kenalan individu terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, modus operandi terbaharu sindiket berkenaan dikesan kerap digunakan sejak awal tahun ini.

Menurutnya, pemilik Telegram terbabit hanya menyedari telah digodam apabila mendapati akaun mereka tidak dapat diakses ataupun selepas diberitahu oleh kenalan mereka yang telah dihubungi sindiket tersebut menggunakan profil mangsa.

"Sebelum ini, modus operandi penjenayah adalah menyamar sebagai kenalan dan menghubungi mangsa menerusi platform media sosial seperti WhatsApp, serta Facebook untuk meminta wang daripada mangsa.

"Namun sejak awal tahun ini, sindiket penyamaran tersebut didapati mula menggodam akaun Telegram milik mangsa dan menghubungi senarai rakan mangsa yang diperoleh dari telegram untuk meminjam wang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kejadian ditipu oleh 'scammer' yang menyamar sebagai kenalan menerusi media sosial untuk meminjam wang mencatatkan sebanyak 314 kes membabitkan kerugian berjumlah RM 2.3 juta sejak awal Januari hingga Khamis.

Tambahnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 778 kes penipuan dengan modus operandi tersebut telah disiasat membabitkan jumlah kerugian berjumlah RM4.8 juta.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengguna disarankan untuk mengaktifkan fungsi verifikasi dua langkah yang ada pada akaun Telegram masing-masing untuk mengurangkan risiko digodam pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"Melalui tetapan ini tahap keselamatan Telegram dapat dipertingkatkan sekali gus mengelakkan penjenayah daripada mengaktifkan akaun tersebut pada peranti lain.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mudah percaya mesej meminta pinjaman wang yang diterima dari kenalan terutama apabila akaun bank yang digunakan adalah milik individu lain," ujarnya.