10 lelaki warga China diberkas terlibat sindiket penipuan

Zam Halim (tiga dari kiri) menunjukkan hasil rampasan dalam serbuan di dua buah kondominium. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Zam Halim (tiga dari kiri) menunjukkan hasil rampasan dalam serbuan di dua buah kondominium. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 10 lelaki warga China ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pakej pelaburan kripto dalam serbuan di dua buah kondominium di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Menurutnya, dalam serbuan pada jam 2 petang itu polis merampas pelbagai peralatan seperti komputer riba, telefon bimbit dan modem yang disyaki digunakan untuk aktiviti penipuan pelaburan tersebut.

"Dua kondominium itu dipercayai digunakan sebagai pusat panggilan sindiket penipuan berkenaan.

"Sindiket itu telah beroperasi sejak Mei lalu, kesemua suspek berperanan sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan.

"Mereka akan menghubungi mangsa warga China melalui aplikasi Telegram untuk memperdayakan mangsa melabur melalui laman web mata wang kripto," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.

Beliau berkata, salah seorang suspek berusia 25 tahun yang ditahan disyaki dalang sindiket berkenaan.

"Hasil semakan mendapati hanya suspek utama sahaja mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM50,000 hingga RM100,000 sebulan.

“Polis juga sedang menyiasat sama ada sindiket ini bekerjasama dengan sindiket penipuan lain di luar negara," katanya.

Zam Halim berkata, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Keseksaan dan Seksyen 120 B akta yang sama," katanya.