TMJ sumbang wang bedah jantung kanak-kanak sindrom down

Tunku Ismail memberikan sumbangan kewangan kepada kanak-kanak sindrom down dari Masai, Johor Bahru, bagi membolehkan pembedahan dilakukan.
Tunku Ismail memberikan sumbangan kewangan kepada kanak-kanak sindrom down dari Masai, Johor Bahru, bagi membolehkan pembedahan dilakukan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberikan sumbangan kewangan membantu kanak-kanak sindrom down, Koh Jia Wei, yang berusia setahun dan mengalami sakit jantung berlubang.

Tunku Ismail memaklumkan perkara tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di sini pada Jumaat.

"Saya telah menerima laporan daripada pegawai saya berkenan adik Koh Jia Wei dan saya akan hulurkan bantuan untuk kos perubatan.

"Saya berharap dan berdoa agar pembedahan ini dapat membantu beliau meneruskan hidup dengan lebih sempurna," kata Tunku Mahkota Johor.

Kenyataan Tunku Ismail itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan berasingan memaklumkan, sumbangan tersebut akan disampaikan secara terus kepada ibu kanak-kanak tersebut.

"Doktor telah mengesahkan bahawa anak kecil ini memerlukan pembedahan segera untuk pembetulan jantung kerana berisiko mengalami kegagalan jantung dan memerlukan sokongan oksigen sepanjang hayatnya.

"Cek tersebut akan disampaikan sendiri oleh pegawai Tunku Mahkota Johor kepada ibunya, Koh Bee Bee bagi menampung kos pembedahan segera dan rawatan agar anak kecil ini dapat kembali sihat. ALLAH Peliharakan Sultan," jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Media tempatan terdahulu melaporkan, Jia Wei memerlukan dana sebanyak RM80,000 untuk menjalani pembedahan jantung bagi menyelamatkan nyawanya.

Ibu kanak-kanak tersebut memberitahu, keadaan jantung anaknya itu dikesan ketika dia membawa kanak-kanak tersebut untuk mendapatkan suntikan sewaktu berusia lapan bulan di sebuah klinik berhampiran rumahnya di Masai dekat sini.