'Kita kalah PRN Johor sebab lawan rasuah' - Tun M

Dr Mahathir (tengah) ketika bercakap pada sidang akhbar di Yayasan Albukhary pada Jumaat.
Dr Mahathir (tengah) ketika bercakap pada sidang akhbar di Yayasan Albukhary pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan amalan politik wang menjadi salah satu faktor partinya kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Malah beliau turut mendakwa ada sesetengah parti yang memberikan sehingga RM300 kepada pengundi supaya menyokong parti mereka.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, amalan sedemikian bagaimana pun tidak dilakukan oleh Pejuang dan atas alasan itulah partinya gagal mendapat sokongan.

“Kita dapati dalam pilihan raya, ramai pengundi diberi wang untuk undi sesebuah parti.

“Bila kita cuba minta sokongan untuk Pejuang, mereka tanya, Pejuang hendak bagi berapa banyak (wang) kerana ada parti lain ni bagi banyak duit kepada mereka.

“Bila dapat RM200 hingga RM300, mereka undi parti itu. Pejuang tiada duit dan kita takkan beli undi,” katanya pada sidang akhbar sebaik selesai mesyuarat bersama Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) di Yayasan Albukhary di sini pada Jumaat.

Sementara itu, dalam sidang akhbar sama, Dr Mahathir Mohamad turut mengumumkan YARM setuju untuk bekerjasama merangka strategi menentang rasuah di negara ini.

“Pejuang dan yayasan ini akan cari jalan bagaimana hendak lawan rasuah terutamanya dalam pilihan raya ramai pengundi diberi wang untuk undi sesuatu parti.

Artikel Berkaitan:

"Pejuang tidak ada duit dan kita tidak akan beli undi. Kita hendak orang sokong Pejuang kerana kebaikan dan Pejuang lawan rasuah bukan hendak beli undi untuk dapatkan sokongan.

“Di waktu ini kita belum dapat satu cara yang berkesan dalam usaha kita hendak bersihkan Malaysia daripada rasuah sebab itu Pejuang dan yayasan ini akan berbincang bagaimana kita boleh lawan rasuah di Malaysia,” katanya.