Dua tan kelapa sehari penuhi permintaan santan segar

Rozaidawati menunjukkan sebahagian daripada stok kelapa yang akan dijual dan diproses menjadi santan di gudang kelapa di Kampung Gong Tok Nasek di Kuala Terengganu.
Rozaidawati menunjukkan sebahagian daripada stok kelapa yang akan dijual dan diproses menjadi santan di gudang kelapa di Kampung Gong Tok Nasek di Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengusaha santan segar meningkatkan sekali ganda pengeluaran dengan purata penggunaan dua tan kelapa sehari bagi menampung permintaan tinggi sepanjang Ramadan.

Pengusaha, Rozaidawati Yusoff, 41, berkata, secara purata sebanyak 600 kilogram (kg) santan dihasilkan sehari berbanding kebiasaan 300 kg dalam tempoh sama.

"Untuk menghasilkan sehingga 600 kg santan, kita memerlukan hampir dua tan kelapa. Memandangkan di sini bekalan kelapa agak berkurangan, jadi kita guna kelapa diimport dari Indonesia yang diambil di jeti Batu Pahat, Johor.

"Kita juga ada bekalkan kelapa biji. Biasanya kelapa yang digunakan untuk dijual secara biji adalah kelapa kampung yang diperoleh dari Besut. Disebabkan bekalan kelapa kampung agak berkurangan, untuk Ramadan kali ini kita hanya sediakan satu tan sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian di taman gudang kelapa di Kampung Gong Tok Nasek, disini.

Pekerja, Wan Muhammad Yazid Wan Jusoh sedang membungkus santan yang telah siap diproses.
Pekerja, Wan Muhammad Yazid Wan Jusoh sedang membungkus santan yang telah siap diproses.

Menurut Rozaidawati, perusahaan santan kelapa yang dibangunkan sejak 2019 itu kembali bernafas selepas tergendala selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

"Ramadan kali ini kita nampak berlaku peningkatan permintaan dan peningkatan produk yang dihasilkan. Tahun lepas sahaja, pengeluaran menurun 40 peratus disebabkan kita masih berada dalam tempoh pandemik.

"Syukurlah, Ramadan kali ini negara sudah berada dalam fasa endemik dan kita harap keadaan terus terkawal untuk peniaga-peniaga seperti kami kembali bernafas," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Rozaidawati berkata, setakat ini syarikatnya mempunyai lapan pekerja di dua lokasi iaitu di gudang kelapa di Kampung Gong Tok Nasek dan kilang santan di kawasan Perindustrian Chendering, disini.

Rozaidawati menunjukkan santan yang siap diproses di kilang santan dekat Kawasan Perindustrian Chendering, di Kuala Terengganu.
Rozaidawati menunjukkan santan yang siap diproses di kilang santan dekat Kawasan Perindustrian Chendering, di Kuala Terengganu.

Katanya, produk yang dihasilkan dibungkus dengan kuantiti 500 gram dan satu kilogram itu mempunyai 20 pelanggan tetap untuk dipasarkan di sekitar daerah Kuala Terengganu.

"Walaupun harga bekalan kelapa sering turun naik, santan yang dijual masih pada harga biasa dan tidak berubah iaitu RM10 bagi setiap satu kilogram.

"Setiap biji kelapa yang kita peroleh tidak semestinya mempunyai santan yang banyak kerana bergantung kepada bekalan dan jenis kelapa. Sebab itulah permintaan terhadap kelapa kampung tinggi kerana ia mampu menghasilkan santan yang banyak," katanya.