4,320 al-Quran tiada perakuan KDN dirampas sepanjang Ramadan

Nik Yusaimi (tengah) menunjukkan antara al-Quran yang dirampas dalam serbuan dijalankan ke atas sebuah premis di Jerteh, Besut dalam sidang akhbar di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK), KDN Terengganu, di Kuala Terengganu pada Selasa.
Nik Yusaimi (tengah) menunjukkan antara al-Quran yang dirampas dalam serbuan dijalankan ke atas sebuah premis di Jerteh, Besut dalam sidang akhbar di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK), KDN Terengganu, di Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan (PK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 4,320 unit bahan bacaan al-Quran bernilai lebih RM250,000 yang tiada perakuan melalui operasi yang dijalankan di seluruh negara sepanjang Ramadan ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, kesemua rampasan terdiri daripada bentuk naskhah dan al-Quran digital itu dikenal pasti melanggar Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986.

Jelas beliau, bahagian PK KDN di seluruh negara menggiatkan penguatkuasaan terhadap kesalahan berkaitan teks al-Quran menerusi Ops Mulia bermula awal Ramadan ini.

"Permintaan terhadap bahan bacaan al-Quran sama ada dalam bentuk digital atau naskhah meningkat sepanjang Ramadan ini, namun, hasil risikan dijalankan sejak awal tahun ini mendapati terdapat al-Quran terbitan negara luar (Indonesia dan China) yang tidak mendapat perakuan KDN turut berada di pasaran.

"Kesemua hasil rampasan itu terdiri daripada al-Quran dan bahan bacaan al-Quran yang tidak mempunyai kelulusan KDN melalui Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ)," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK), KDN Terengganu, di sini, pada Selasa.

Jelas beliau, bagi Terengganu pula, rampasan al-Quran dianggarkan bernilai RM36,870 turut dilakukan dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Jerteh, Besut.

Katanya, premis perniagaan itu telah dikesan menjalankan aktiviti penjualan sejak awal tahun 2022.

"Antara modus operandi yang dijalankan ialah melakukan aktiviti pengedaran al-Quran dan bahan al-Quran sebagai sumber pendapatan utama di kawasan sekitar di samping turut menjual secara dalam talian.

"Kesalahan yang sering dikesan termasuk kesilapan cetakan dan ayat al-Quran, tiada pelekat hologram, tiada perakuan sah oleh KDN dan tidak melalui proses semakan," ujar beliau.

Beliau menegaskan, masyarakat tidak digalakkan untuk membaca al-Quran yang tiada perakuan KDN kerana dikhuatiri memberi maksud yang berbeza dan akan mengelirukan.

"Sehingga kini terdapat 916 pruf akhir teks al-Quran di Malaysia bermakna sejumlah 916 jenis terbitan al-Quran telah diluluskan KDN sebagai pilihan sama ada untuk dijual, dimiliki, atau diedarkan.

"Masyarakat diseru untuk tidak memilih naskhah al-Quran yang tiada kelulusan dengan menyemak perakuan dan hologram KDN pada naskhah al-Quran tersebut.

"Amalan membaca al-Quran tanpa semakan dan kelulusan dari LPPPQ, KDN dikhuatiri akan mengelirukan masyarakat berhubung teks al-Quran, sebutan, bacaan dan maksud yang tidak tepat kerana tidak melalui proses semakan dan ditentusahkan betul oleh pakar," katanya.

Menurut Nik Yusaimi, setakat ini seramai lapan suspek yang merupakan peniaga dan pengedar al-Quran telah ditahan dinseluruh negara dan disiasat di bawah APTQ 1986.

"Kita akan teruskan siasatan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat dalam aktiviti penjualan al-Quran yang tiada perakuan ini.

"Ini antara langkah dilakukan bagi mencapai sasaran zero al-Quran tanpa perakuan KDN," ujarnya.