Parti berteraskan Melayu masih relevan untuk orang Melayu

Tangkap layar kenyataan Mior Nor pada Khamis.
Tangkap layar kenyataan Mior Nor pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti politik yang berteraskan Melayu dilihat masih relevan untuk kaum itu, kata Ketua Majlis Pimpinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Negeri Perak, Mior Nor Haidir Suhaimi.

Beliau berkata, merujuk penulisan Rosli Khan bertajuk ‘Time to move away from race-based politics’ yang diterbitkan Malaysiakini pada 28 Mac lalu, hakikatnya parti politik berasaskan kaum masih wujud sehingga ke hari ini.

Menurutnya, ia juga selaras dengan tanggungjawab parti Pejuang dalam memelihara kelangsungan Melayu dan memperjuangkan hak kaum itu tanpa mengabaikan hak bangsa lain yang dilindungi oleh Perlembagaan Negara.

“Matlamat Pejuang ditubuhkan jelas mahukan satu perubahan dan kesedaran masyarakat umum untuk menolak politik wang dan salah laku rasuah yang menjadi amalan penyokong dan pendokong kleptokrat apabila berada di puncak kuasa.

“Tambahan pula, keberadaan Pejuang mendapat sokongan yang amat positif daripada masyarakat berbilang bangsa yang berkongsi aspirasi dan perjuangan sama iaitu untuk perubahan landskap politik demi masa hadapan lebih baik.

“Kalau bukan bangsa sendiri mempertahankan haknya, siapa lagi yang akan bangun untuk berjuang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, parti politik berasaskan kaum bukan hanya terjadi kepada bangsa Melayu, malah pada bangsa lain seperti Cina dan India.

“Malah, parti-parti politik yang kononnya mengaku bersifat ‘multiracial’ atau berbilang kaum, pada hakikatnya barisan kepimpinan mereka ditunjangi oleh satu bangsa sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Kehadiran pemimpin bangsa lain dilihat hanyalah sekadar untuk memenuhi keperluan bagi menarik sokongan daripada bangsa tertentu.

“Lihatlah kepada pemilihan sebuah parti ‘multiracial’ baru-baru ini, di mana calon-calon berbangsa Melayu hampir kesemuanya kecundang dalam pemilihan tersebut.

“Namun demi mendapatkan pengaruh orang Melayu, ada yang dilantik semula secara lantikan bagi melengkapkan barisan kepimpinan mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, isu rasis jelas dibangkitkan hanya untuk mewujudkan perang diplomasi dan sentimen kuno dalam demokrasi.

Katanya, sejarah yang dilakar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menjadi satu indikator di mana barisan Jemaah Menteri sendiri terdiri daripada pelbagai latar belakang parti politik tanpa mengira kaum, bekerjasama di bawah satu payung pimpinan Pakatan Harapan (PH) di mana Perdana Menteri ketika itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Adakah selepas sejarah pengkhianatan yang mengakibatkan pertukaran kerajaan melalui ‘pintu belakang’ berlaku, bangsa dan parti yang selain ‘malay-base’ tidak memperoleh sebarang jawatan atau tempat, malah ditinggalkan akibat tohmahan rasis yang dilemparkan terhadap seorang negarawan itu?

“Berbalik kepada kemenangan yang dicapai pada PRU14, ternyata faktor penyumbang utama pencapaian cemerlang ketika itu disebabkan oleh sokongan pengundi Melayu, melalui penubuhan Parti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang diketuai Mahathir pada masa itu.

“Namun, masih ramai yang menolak realiti ini dan mengatakan bahawa perpaduan Melayu hanyalah sebuah mitos semata,” jelasnya.