Pulau Pinang bakal terima pelancong Asia Barat yang tinggi

Soon Hin (dua dari kiri) berbual selepas merasmikan Program Kesedaran Jenayah dan Keselamatan untuk NGO berkaitan pelancongan di Pulau Pinang di Auditorium A Komtar di Georgetown pada Khamis.
Soon Hin (dua dari kiri) berbual selepas merasmikan Program Kesedaran Jenayah dan Keselamatan untuk NGO berkaitan pelancongan di Pulau Pinang di Auditorium A Komtar di Georgetown pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang bakal menerima pelancong dari Asia Barat dalam jumlah yang tinggi selepas pintu sempadan negara dibuka pada 1 April ini.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata, ia berikutan rekod mencatatkan pelancong dari rantau tersebut menunjukkan minat yang tinggi untuk datang ke negeri ini.

Menurutnya, perkara itu adalah hasil promosi berterusan kerajaan negeri mengenai pelancongan di Pulau Pinang sepanjang dua tahun lalu.

"Minat yang tinggi untuk pelancong kembali melancong ke negeri ini merupakan satu berita baik kepada pemain industri di sini.

"Dari maklum balas yang diterima, pelancong dari Asia Barat sangat berminat untuk bercuti ke Pulau Pinang.

"Dengan promosi berterusan yang dijalankan kerajaan negeri, kita dapat kekalkan minat pelancong untuk ke negeri ini," katanya selepas merasmikan Program Kesedaran Jenayah dan Keselamatan untuk badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pelancongan di Pulau Pinang di Auditorium A Komtar di sini pada Khamis.

Menurut Soon Hin, kemasukan pelancong asing dijangka secara berperingkat kerana ia bergantung kepada kebenaran serta pembukaan sempadan negara masing-masing.

"Pelancong juga perlu merancang perjalanan mereka jadi kita tidak akan menerima kemasukan pelancong asing secara mendadak.

"Kita jangka pelancong asing memasuki Pulau Pinang secara berperingkat selepas pembukaan sempadan pada 1 April," katanya.

Artikel Berkaitan:


Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk membuka semula sempadan negara pada 1 April ini susulan fasa peralihan ke endemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan tiga perkara iaitu fakta terkini Covid-19, keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Dalam perkembangan lain, kerajaan Pulau Pinang sedang berusaha memperoleh persetujuan daripada beberapa syarikat penerbangan untuk mendapatkan perkhidmatan penerbangan terus antarabangsa dari beberapa negara Asia dan Asia Barat ke Pulau Pinang.

"Kita sedang mendapatkan penerbangan terus dari Thailand, Vietnam, Indonesia dan negara Timur Tengah ke Pulau Pinang bagi merancakkan industri pelancongan di negeri ini.

"Kita akan umum dalam tempoh terdekat selepas mendapat pengesahan mengenai penerbangan terus antarabangsa berkenaan," katanya.