Balotelli harap Mancini terus kemudi Itali

Balotelli - Foto AA
Balotelli - Foto AA
A
A
A

BEKAS penyerang kebangsaan Itali, Mario Balotelli menyifatkan kegagalan Roberto Mancini mengemudi skuad Azzurri ke Piala Dunia 2022 tidak seharusnya dijadikan alasan bagi terus mengenepikan jurulatih berkenaan.

Menurut Balotelli, Mancini telah melakukan tugas yang baik selama ini dengan membawa beberapa perubahan kepada pasukan dan terbaharu membantu Azzurri muncul juara Euro 2020 lalu.

Justeru katanya, khidmat Mancini perlu dikekalkan bagi membimbing Itali melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.

“Walaupun saya tidak pernah bercakap dengannya, tetapi saya berharap Mancini dapat terus diberikan tanggungjawab mengemudi Itali.

“Lihat saja rekodnya apabila cemerlang membantu Manchester City dan Itali pada Euro 2020 lalu, cukup cemerlang.

“Oleh itu, bagi saya melihat dia sebagai individu yang tepat untuk terus mengemudi Itali,” katanya.

Untuk rekod, Itali yang juga juara Euro 2020 gagal mara ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 setelah tumpas 0-1 kepada Macedonia Utara pada aksi kelayakan 25 Mac lalu yang menyaksikan Aleksandar Trajkovski muncul wira skuad The Lions itu apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada masa kecederaan.

Kegagalan Itali itu merupakan kali kedua skuad Azzurri gagal mara ke Piala Dunia setelah edisi 2018 lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Balotelli turut menyuarakan kekesalannya kerana tidak dipanggil mewakili Itali bagi mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia 2022, baru-baru ini.

Menurutnya, kelemahan ketara pada skuad kendalian Mancini itu adalah pada jentera serangan yang dilihat tidak ‘berkemampuan’ untuk meledak jaringan dan sekiranya dirinya berada dalam senarai kesebelasan pemain, ‘masalah’ itu mungkin dapat diselesaikan.

“Saya seringkali dirindui setelah pasukan Itali tewas. Ya, memang mudah untuk mengatakan perkara itu, tetapi sebelum ini tidak ada siapa pun yang ingat tentang saya.

“Saya menonton perlawanan kelayakan dan saya lihat banyak peluang yang gagal disempurnakan jentera serangan Itali.

“Oleh itu, saya berani mengatakan saya mampu untuk menjaringkannya kerana saya sebenarnya agak bagus apabila berada di depan pintu gol. Namun saya tidak katakan bahawa jika saya bermain, Itali akan menang. Cukup untuk saya katakan peluang jaringan memang ada dan terlalu banyak,” katanya.