Murid Tahun Dua salah naik van sekolah ditemui selamat

Murid Tahun Dua yang ditemui di pondok pengawal sebuah kondominium sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada Rabu.
Murid Tahun Dua yang ditemui di pondok pengawal sebuah kondominium sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada Rabu.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Taman Midah 1 di sini yang dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolah ditemui selamat pada Rabu.

Datuknya, Datuk Azman Mahmood berkata, beliau dimaklumkan, cucu perempuannya yang berusia lapan tahun ditemui selamat oleh penduduk di sebuah kondominium di Pudu.

"Saya dimaklumkan cucu perempuan selamat ditemui kira-kira jam 9.30 malam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Azman berkata, cucunya itu dipercayai telah tersalah menaiki sebuah van sekolah yang kemudian menurunkan kanak-kanak berkenaan di kondominium berkenaan.

"Seorang penduduk telah menjumpai cucu saya di pondok pengawal keselamatan, sebelum menghubungi polis," katanya.
Artikel Berkaitan:


Azman memaklumkan, sepatutnya isterinya menjemput cucunya itu pulang dari sekolah pada jam 5.30 petang.

Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan bagaimanapun disedari hilang apabila tidak berada di sekolah.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis mengenai kehilangan murid berkenaan sebelum kanak-kanak itu kemudian berjaya ditemui dengan selamat.