Perak nafi hanya beri RM300 bantuan bencana ribut

Jumlah keseluruhan bantuan kerajaan kepada mangsa ribut berjumlah RM1.05 juta

Rangka bumbung yang diterbangkan angin akibat kejadian ribut yang melanda kawasan Kampung Tawas, Ipoh pada 31 Januari lalu. Gambar kecil: Saarani
Rangka bumbung yang diterbangkan angin akibat kejadian ribut yang melanda kawasan Kampung Tawas, Ipoh pada 31 Januari lalu. Gambar kecil: Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menafikan dakwaan hanya memberikan bantuan berjumlah RM300 kepada mangsa ribut yang berlaku di Kampung Tawas, di sini pada 30 Januari lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah RM300 kepada 352 ketua isi rumah yang terkesan akibat bencana itu merupakan wang ihsan segera disalurkan dalam tempoh kurang 24 jam.

Menurutnya, selain itu, kerajaan negeri juga telah menyalurkan Bantuan Pembaikan Kecemasan Kejadian Bencana berjumlah RM450,000 untuk membaiki 129 premis yang rosak akibat dipukul ribut di kawasan Mukim Chemor iaitu Kampung Tawas, Chepor dan Sri Klebang, di sini.

"Ini tidak termasuk bantuan pembaikan rumah melalui peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang berjumlah RM405,000. Begitu juga bantuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berjumlah RM48,600 dan bantuan kotak makanan daripada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

"Berdasarkan data oleh pejabat daerah, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan keseluruhannya berjumlah RM1.05 juta," katanya ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja, Sultan Perak di Dewan Negeri pada Rabu.

Saarani berkata, berdasarkan penjelasan itu, tidak wajar untuk menuduh kerajaan negeri hanya menyalurkan bantuan sebanyak RM300.

Katanya, dakwaan yang dilemparkan Kor Ming sebelum ini bukan sahaja tidak benar malah mengelirukan dewan seolah-olah kerajaan bersikap lepas tangan dan tidak prihatin dengan nasib yang menimpa mangsa.

Pada Selasa, Nga Kor Ming (DAP-Aulong) mendakwa kerajaan negeri hanya memberikan bantuan bencana berjumlah RM300 menyebabkan Pejabat Ahli Parlimen Ipoh Barat dan pasukan khidmat bantuan bencana yang digerakkan DAP Perak menjalankan kutipan dana sebanyak RM280,000 bagi membantu mangsa disebabkan bantuan kerajaan tidak mencukupi.

Artikel Berkaitan:

Beliau ketika mencelah perbahasan Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari turut mencadangkan agar Tabung Bencana Daerah ditingkatkan daripada RM60,000 kepada RM500,000 setiap daerah.