Buka sempadan: Polis Johor kenal pasti 41 'hotspot'

Kamarul Mamat (kanan) menyemat pingat kepada seorang penerima pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor 2022 di Dewan Dato' Onn, IPK Johor, Johor Bahru, pada, Khamis
Kamarul Mamat (kanan) menyemat pingat kepada seorang penerima pada Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Johor 2022 di Dewan Dato' Onn, IPK Johor, Johor Bahru, pada, Khamis
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor akan memberi tumpuan di 41 hotspot seluruh negeri yang akan menjadi tumpuan pelancong dan orang ramai sempena pembukaan sempadan antarabangsa pada 1 April ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hotspot yang dikenal pasti tertinggi adalah melibatkan 10 kawasan di Johor Bahru Selatan dan tiga di Johor Bahru Utara.

"Kawasan itu melibatkan tempat tumpuan awam seperti Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bazar Karat, terminal bas dan pasar awam di Larkin serta di pasar raya dan pusat beli-belah seperti Paradigm Mall Johor Bahru.

"Begitu juga hotspot lain yang akan menjadi tumpuan seperti di Kota Tinggi yang merupakan tempat peranginan, di Kluang yang mempunyai tempat rekreasi di hutan dan di jeti di Mersing.

"Ini termasuk di Muar dan Tangkak yang menjadi tempat tumpuan untuk membeli kain dan pakaian. Kita akan tempatkan pegawai dan anggota kita di lokasi-lokasi berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negaea Kontinjen Johor 2022 di Dewan Dato' Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.

Kamarul Zaman berkata, lebih 1,600 pegawai dan anggota akan bertugas pada minggu pertama pembukaan sempadan terutama di kawasan tumpuan serta lokasi strategik seluruh negeri.

Katanya, seramai 200 pegawai dan anggota polis akan bertugas di BSI di sini dalam sehari mengikut tiga syif dengan dibantu 113 polis bantuan BSI bagi mengawal keselamatan dan kelancaran trafik.

Artikel Berkaitan:

Sementara di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang pula, Kamarul Zaman memberitahu, seramai 50 hingga 60 pegawai polis akan berkhidmat termasuk di sepanjang laluan ke bangunan tersebut dan tempat rehat.

"Ini bagi memastikan keselamatan pelancong dan rakyat kita termasuk mencegah daripada kegiatan curi dan penyeluk saku di sepanjang laluan ke BSAB," katanya.

Menurutnya, tiga sekatan jalan raya (SJR) di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) selain di Kota Tinggi dan Iskandar Puteri akan diteruskan kerana merupakan pintu masuk dari pantai timur negeri ini bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sementara itu, beliau berkata, seramai 348 penerima terdiri 165 pegawai kanan polis dan pangkat rendah serta 183 pesara dan petugas era darurat menerima anugerah tersebut.