Laporan transaksi mencurigakan meningkat

BNM memaklumkan Bilangan Laporan Transaksi yang Mencurigakan (STR) dikemukakan oleh institusi pelapor meningkat sebanyak 43 peratus.
BNM memaklumkan Bilangan Laporan Transaksi yang Mencurigakan (STR) dikemukakan oleh institusi pelapor meningkat sebanyak 43 peratus.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bilangan Laporan Transaksi yang Mencurigakan (STR) yang dikemukakan oleh institusi pelapor meningkat sebanyak 43 peratus kepada 191,387 pada 2021 daripada tahun sebelumnya, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Merujuk kepada Laporan Tahunan BNM 2021, STR semakin meningkat sekitar 30 peratus setahun, antara tahun 2014 hingga 2021.

"Secara khusus, terdapat peningkatan yang ketara dalam STR berkaitan dengan penipuan, apabila penjenayah mengambil kesempatan daripada situasi pandemik untuk mengeksploitasi mangsa melalui penipuan yang berkaitan dengan produk perubatan, peluang pelaburan dan program bantuan kerajaan,” kata BNM.

Katanya, STR mengenai kesalahan cukai juga bertambah, menunjukkan terdapat peningkatan dalam kegiatan pengelakan cukai dan pelaporan pendapatan yang lebih rendah.

Lebih 75 peratus hasil analisis risikan kewangan yang dikemukakan oleh Unit Perisikan Kewangan (FIU) kepada agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang (LEA) dan FIU asing pada tahun 2021 adalah berkaitan jenayah berisiko tinggi.

Risikan kewangan yang dikemukakan itu membantu siasatan yang menghasilkan lebih 70 tangkapan yang melibatkan aktiviti rasuah, jenayah terancang, penyeludupan, eksploitasi seksual kanak-kanak dan pengubahan wang haram.

"Perkongsian maklumat risikan ini juga menyumbang kepada pembekuan dan penyitaan hasil jenayah yang bernilai lebih daripada RM136 juta, pemulihan hasil lebih daripada RM255 juta serta menyokong tindakan pencegahan terhadap aktiviti keganasan dan pembiayaan keganasan,” menurut BNM.

Sementara itu, sejak dua dekad penubuhannya, Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC) meluluskan Pelan Hala Tuju NCC 2021-2023 yang berlandaskan Pelan Strategik Kebangsaan 2015- 2020.

Artikel Berkaitan:

Pelan Hala Tuju NCC merangkumi lima bidang strategik, iaitu perundangan, pengawalseliaan dan penyelarasan, risiko, langkah-langkah pencegahan, bina upaya dan kesedaran, serta penguatkuasaan.

"Bidang tanggungjawab utama dan pelan tindakan khusus agensi dan jawatankuasa kecil yang berkaitan kemudiannya diselaraskan dengan pelan hala tuju yang baharu,” katanya.

Pelan Hala Tuju NCC memasukkan saranan daripada Penilaian Risiko Negara Mengenai Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2020 baru-baru ini dan pelan itu merupakan penilaian di seluruh negara mengenai dedahan Malaysia terhadap jenayah berisiko tinggi dan kelemahan sektoral.

-- BERNAMA