Siti Healthcare tawar program lanjutan pengajian pembantu perubatan

Muhammad Ali Yahya (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman dengan Mustafa (dua dari kanan) dalam satu majlis MoU, baru-baru ini.
Muhammad Ali Yahya (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman dengan Mustafa (dua dari kanan) dalam satu majlis MoU, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Siti Healthcare Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) bakal menawarkan program pengajian bagi 'menaik taraf' profesyen kumpulan pembantu perubatan di negara ini.

Pengerusi Siti Healthcare, Datuk Seri Dr Muhammad Ali Yahya berkata, melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan PPPM, pihaknya turut menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang menamatkan pengajian.

Katanya, kumpulan pembantu perubatan sebagai kakitangan yang berada di barisan paling hadapan di pusat-pusat perubatan wajar mendapat taraf pendidikan yang sebaiknya demi memerkasakan perkhidmatan kesihatan di negara ini.

"Kumpulan pembantu perubatan adalah kakitangan yang penting kerana mereka terlibat secara langsung dengan doktor, pakar bedah, pembantu doktor dan pesakit.

"Bagaimanapun syarat kelayakan mereka masih lagi rendah di negara ini, bahkan ada sesetengah majikan tidak mengambil kira latar belakang pengajian dalam bidang ini.

"Sedangkan peranan mereka penting dalam memperkasakan perkhidmatan kesihatan premier di negara ini,'' katanya selepas MoU antara Siti Healthcare Sdn Bhd dengan Persatuan PPPM baru-baru ini.

Majlis MoU itu ditandatangani Dr Muhammad Ali mewakili Siti Healthcare manakala PPPM diwakili Presidennya, Mustafa Abd Majid, disaksikan Naib Presiden, Mansor J.A Fenner dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Siti, Datin Seri Dr Yetti Murni.

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad berkata, selain menawarkan program pengajian lanjutan ke peringkat diploma atau lebih tinggi, pihaknya juga akan menawarkan program pengajian secara percuma melalui jalinan kerjasama dengan beberapa pihak.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Ali Yahya.
Muhammad Ali Yahya.

Menurutnya, program tajaan biasiswa itu mensasarkan kumpulan pelajar daripada keluarga kurang kemampuan dan anak-anak golongan asnaf.

"Bagi tujuan ini kami mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak khususnya daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta.

"Buat masa ini perbincangan telah diadakan dengan Yayasan Peneraju Bumiputera dan beberapa lembaga zakat negeri,'' katanya.

Mengenai tawaran kerjaya, Muhammad berkata, sebagai syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan yang sedang pesat berkembang, pihaknya amat memberi penekanan kepada tenaga kerja pembantu perubatan terlatih.

Sebagai contoh katanya, profesyen pembantu perubatan di semua rangkaian Klinik Siti dijenamakan sebagai 'Primary Care Executive' (PCE), sementara 'Healthcare Executive' (HCE) diberikan kepada yang mempunyai latar belakang dalam perubatan.

Muhammad Ali Yahya (duduk, tiga dari kiri) bersama pihak pengurusan tertinggi Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) sempena majlis MoU di Shah Alam, baru-baru ini.
Muhammad Ali Yahya (duduk, tiga dari kiri) bersama pihak pengurusan tertinggi Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) sempena majlis MoU di Shah Alam, baru-baru ini.

"Melalui kerjasama dengan PPPM ini, kami mensasarkan kira-kira 100 jawatan PCE bertepatan dengan pengembangan Klinik Siti kepada 50 cawangan menjelang hujung tahun ini.

"Bagi jawatan HCE, tidak kurang daripada 20 jawatan ditawarkan untuk mengendalikan program 'out reach' seperti program imunisasi di pedalaman dan di kawasan ladang.

"Selain itu kami akan menumpukan kepada skim-skim yang diperkenalkan oleh kerajaan contohnya PEKA B40 melalui Protect Health yang memerlukan tenaga kerja mahir daripada kelompok HCE,'' katanya.

Sementara itu Mustafa berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa kolej dan universiti yang menyediakan pengajian diploma pembantu perubatan.

"Usaha ini juga diharap dapat mengurangkan jurang latar belakang pendidikan antara pembantu perubatan di sektor awam dengan swasta.

"Pada masa yang sama usaha ini penting untuk menyediakan pendidikan yang memberi impak kepada masyarakat, '' ujarnya yang mempunyai kira-kira 20,000 orang ahli pada masa ini.