MySejahtera masih perlu digunakan: Khairy

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk mendengar taklimat dan melawat tapak pembinaan bangunan tambahan HPD, hari ini. - Foto Bernama.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk mendengar taklimat dan melawat tapak pembinaan bangunan tambahan HPD, hari ini. - Foto Bernama.
A
A
A

PORT DICKSON - Meskipun negara berada dalam fasa peralihan endemik, namun penggunaan aplikasi MySejahtera masih diperlukan bagi tujuan kesihatan awam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, aplikasi berkenaan bukan bertujuan untuk merekodkan lokasi pengguna, sebaliknya untuk mengesan kontak rapat kes positif Covid-19 bagi tindakan susulan.

"Kita belum masuk ke fasa endemik tetapi ke fasa peralihan endemik, nak ke endemik jauh sangat. Kita masih ada ribuan jangkitan setiap hari.

"Jadi MySejahtera masih berfungsi untuk beritahu kepada pengguna sekiranya mereka telah jadi kontak rapat. Dulu mereka yang kontak rapat diminta asingkan diri dan sekarang kontak rapat cuma diminta semak ada gejala atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Hospital Port Dickson, di sini pada Selasa.

Menurutnya, penggunaan aplikasi berkenaan mungkin akan dimansuhkan dalam masa beberapa bulan lagi sekiranya keadaan kes di negara ini sudah stabil.

Khairy juga menyangkal kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengatakan masyarakat dibebani dengan mekanisme 'surveillance' disebabkan penggunaan MySejahtera yang seolah-olah menceroboh privasi pergerakan mereka.

"Mungkin dalam tempoh sebulan dua lagi apabila keadaan dah semakin stabil, mungkin waktu itu sesuai kita hentikan penggunaan MySejahtera.

Artikel Berkaitan:

"Kita gunakan MySejahtera ini untuk tujuan kesihatan awam. KKM (Kementerian Kesihatan) tahu bila nak hentikan penggunaan MySejahtera dan ia bukan semata-mata nak tahu pengguna pergi ke mana," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan negara akan memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April depan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, ia adalah fasa peralihan untuk negara kembali kepada kehidupan normal selepas rakyat bergelut dengan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.