Khairy Jamaluddin ditawar Ahli MPT Bersatu - Muhyiddin

Muhyiddin - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
Muhyiddin - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sudah ditawarkan memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, keputusan berkenaan tawaran kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu sudah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi Bersatu baru-baru ini.

“Pasal ni dah bincang dengan rakan-rakan saya, kita ada dua kekosongan, jika beliau (Khairy) setujulah.

“Ini bukan umpan saya, kita biarkan KJ buat keputusan, kita tak gesa sangat. Beliau tahu masa yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Majlis Penganugerahan Geran penyelidikan Program Pembangunan Dasar Institut Masa Depan Malaysia (MASA) kohort-2 (MPDP 2.0).

Muhyiddin juga berharap agar Khairy Jamaluddin dapat membuat keputusan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung Jun ini.

“Dewan Undangan Negeri akan bubar Jun, tempoh masa sudah terhad, jadi saudara Khairy boleh fikirkan dengan baik. Inilah masa yang sesuai, semua orang mengharapkannya menyertai Perikatan Nasional.

“Beliau dah minta hendak jumpa saya lama dulu iaitu selepas dipecat UMNO. Jadi kami berjumpa berbincang secara terbuka hala tuju beliau harapan parti kita.

“Khairy tokoh politik muda yang berkaliber, sebenarnya beliau tak mohon nak masuk, saya tawar beliau,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, jika Khairy menyertai Bersatu, beliau boleh membantu membina kekuatan parti.

“Semua orang dah tahu apa yang berlaku pada UMNO, hampir hancur lebur, rumah UMNO sudah jadi sarang DAP.

“Yang ini mungkin menghancurkan harapan sebahagian besar ahli UMNO, jadi saya tak payah nak sebu. Bagi parti Bersatu, kita tahu hala tuju, lawan untuk rakyat, pertahan semua hak masing-masing dan sah buktikan PRU lepas gabungan BeRsatu dan Pas didokong oleh ahli Melayu,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai persediaan menghadapi PRN di enam negeri, Perikatan Nasional (PN) sudah hampir memuktamadkan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponennya.

Pengerusi PN itu berkata, perbincangan mengenai perkara itu juga akan dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan berlangsung pada 23 Mei ini.

"Saya sudah arahkan pasukan perunding setiap parti menyelesaikan (pembahagian kerusi). Mereka ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

"Ada satu, dua kerusi saja lagi dan apabila ini sudah selesai, kita akan tahu ia milik siapa. Kemudian kita akan minta senarai nama bakal calon bersesuaian untuk diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi," jelasnya.