2,309 pengunjung melalui VTL Pulau Pinang-Singapura

Seramai 210 penumpang tiba dari Singapura melalui penerbangan AK1730 dan SQ138. - Foto Bernama
Seramai 210 penumpang tiba dari Singapura melalui penerbangan AK1730 dan SQ138. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 2,309 pengunjung memasuki Pulau Pinang di bawah Laluan Perjalanan Vaksinasi Udara (VTL) Pulau Pinang-Singapura dalam tempoh 12 hari antara 16 Mac iaitu hari pertama VTL dibuka hingga 27 Mac lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sebanyak 21 penerbangan keseluruhan yang direkodkan dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga, enam penumpang telah disahkan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Kon Yeow berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan VTL Pulau Pinang-Singapura selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang di sini pada Selasa.

16 Mac lalu, Pulau Pinang menerima kumpulan pengunjung pertama di bawah VTL Pulau Pinang-Singapura yang mana, seramai 210 penumpang tiba dari Singapura melalui penerbangan AK1730 dan SQ138.

Tiada kes positif Covid-19 dikesan pada hari pertama berkenaan.

Ditanya sama ada ketibaan penumpang menepati unjuran negeri, Kon Yeow berkata, VTL adalah berdasarkan permohonan dan tertakluk kepada protokol.

Kon Yeow (tengah) membaca ikrar anti rasuah di Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang pada Selasa.
Kon Yeow (tengah) membaca ikrar anti rasuah di Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya ramai orang sedang menunggu untuk melakukan perjalanan sebaik sahaja sempadan antarabangsa negara dibuka semula pada 1 April ini. Selain VTL, ada juga pengunjung yang memasuki Pulau Pinang bukan di bawah VTL dan mereka dikenakan kuarantin.

"Apabila pintu sempadan negara dibuka, maka VTL ini sudah tidak relevan lagi," tambahnya.

Mengulas mengenai persiapan kerajaan negeri untuk menerima pelancong bermula 1 April nanti, Kon Yeow berkata, pihaknya tidak menjangkakan lonjakan jumlah pelawat secara mendadak.

"Untuk melancong, kita perlu merancang dengan baik. Saya tidak menjangkakan ia secara mendadak (jumlah pengunjung masuk ke negeri ini).

"Jumlah itu akan meningkat secara beransur-ansur sebagai permulaan sebelum keadaan normal semula. Kerajaan negeri berharap dapat mencapai angka yang mengagumkan dalam beberapa bulan akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang turut menjadi pilihan utama pelancong domestik untuk melancong ketika sempadan negara masih belum dibuka.

"Hotel-hotel terutama di kawasan pantai peranginan menerima tempahan yang tinggi dalam kalangan pelancong domestik dan kami gembira apabila Pulau Pinang menjadi pilihan pelancong untuk bercuti," katanya.