Projek FR5 dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam jimat RM31 juta

Fadillah (empat dari kanan) menyempurnakan simbolik pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Menaik Taraf FR05 di Dataran Tonggak 10 di sini pada Isnin.
Fadillah (empat dari kanan) menyempurnakan simbolik pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Menaik Taraf FR05 di Dataran Tonggak 10 di sini pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Projek menaik taraf (FR05) dari Tanjong Karang ke Sabak Bernam yang siap sepenuhnya 22 Februari lalu mengalami penjimatan sehingga RM31 juta.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kos asal projek itu bernilai RM780 juta, namun dapat disiapkan pada harga RM749 juta.

Menurutnya, faktor penyumbang penjimatan kos itu disebabkan Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Selain pelaksanaan GST beberapa faktor menyumbang kepada penjimatan terutama dalam skop projek yang digabungkan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Menaik Taraf FR05 di Dataran Tonggak 10 di sini pada Isnin.

Fadillah berkata, projek yang mula dilaksanakan pada 2016 itu mengalami pelbagai cabaran kerana mempunyai aliran trafik selain penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran.

"Dalam kita merancang dan melaksanakan projek ini banyak sesi perjumpaan, dialog diadakan untuk mendengar segala maklum balas, rintihan dan aduan daripada penduduk setempat.

"Alhamdulillah akhirnya projek menaik taraf jalan ini dapat disiapkan dan sasarannya sudah pasti untuk meningkatkan jaringan jalan raya di antara negeri dan daerah khususnya di Selangor yang juga berhubung dengan Perak," ujarnya.

Beliau memberitahu, projek sepanjang 45 kilometer itu sebahagian daripada jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang merupakan laluan tanpa tol dan persimpangan tanpa lampu isyarat.

Kata beliau, jalan persekutuan berhubung dengan WCE yang sedang dalam pelaksanaan itu diharapkan sebahagiannya dapat disiapkan pada tahun 2023 serta sebahagian kecil lagi hanya dapat disiapkan pada tahun 2024.

Artikel Berkaitan:

"Jalan ini dibiayai sepenuhnya dengan peruntukan kerajaan Persekutuan yang akan menghubungkan WCE yang dibiayai oleh pihak swasta secara sistem bertol," ujarnya.

"Projek ini melibatkan pembinaan menaik taraf jalan empat lorong dua hala dengan beberapa persimpangan bertingkat, jejambat dan juga persimpangan U untuk memudahkan pergerakan khususnya penduduk setempat," jelasnya.