Pemandu lori terima Anugerah Wira Bomba

Redah rumah terbakar selamatkan warga emas lumpuh

Suhaimi menunjukkan Anugerah Wira Bomba di atas keberanian menyelamatkan seorang warga emas lumpuh kebakaran di Tumpat tahun lalu.
Suhaimi menunjukkan Anugerah Wira Bomba di atas keberanian menyelamatkan seorang warga emas lumpuh kebakaran di Tumpat tahun lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Keberanian seorang pemandu lori meredah api menyelamatkan seorang warga emas yang lumpuh dalam kejadian kebakaran di Tumpat tahun lalu diiktiraf sebagai wira oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan.

Suhaimi Harun, 58, menerima Sijil Penghargaan sebagai Wira Bomba yang disampaikan oleh Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin pada Isnin.

Menceritakan kembali peristiwa yang berlaku pada jam 3 petang, 16 Februari lalu, Suhaimi sedang membaiki lori di hadapan rumahnya iaitu beberapa meter dari rumah mangsa.

Suhaimi memberitahu tiba-tiba terdengar percikan api dan terkejut melihat kepulan asap tebal keluar dari bahagian atas rumah dua tingkat itu.

“Tanpa berfikir panjang, saya segera berlari masuk ke dalam rumah tersebut dan mengheret mangsa yang berada di atas alas kayu beroda keluar dari rumah itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Apresiasi JBPM Kelantan di Ibu Pejabat JBPM di Tunjong di sini pada Isnin.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pada majlis itu, lebih 10 wakil media turut menerima Sijil Penghargaan daripada JBPM Kelantan sebagai menghargai jalinan kerjasama, kolaborasi dan publisiti penyelamatan.

Artikel Berkaitan:

Suhaimi bersyukur mereka selamat walaupun tidak terfikir keselamatan diri atau kemungkinan terkorban sekiranya terperangkap dalam kebakaran itu.

Sinar Harian Kelantan yang diwakili wartawan Adila Sharinni Wahid (kanan) turut menerima Sijil Penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.
Sinar Harian Kelantan yang diwakili wartawan Adila Sharinni Wahid (kanan) turut menerima Sijil Penghargaan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.

“Tindakan saya lebih kepada nilai kemanusiaan terutama mangsa lumpuh akibat kemalangan motosikal selain sudah uzur serta tinggal sehelai sepinggang selepas kejadian itu.

“Sebelum ini, saya juga pernah membantu menyelamatkan mangsa banjir dan kejadian kebakaran yang lain,” katanya.

Ujarnya, anugerah itu dianggap sebagai tanggungjawab untuk terus menjadi insan yang membantu orang lain ketika dalam kesusahan.

Sementara itu, Zainal berkata, bomba menerima sebanyak 1,529 panggilan kecemasan membabitkan 275 kes kebakaran dan 406 kes untuk tugasan penyelamatan tahun ini bermula Januari hingga Ahad,

Beliau memberitahu, mereka juga menerima sebanyak 847 untuk tugas-tugas khas dan kerugian keseluruhan berjumlah RM76 juta.

“Memasuki musim panas pada penghujung Mac ini, JBPM bersedia menghadapi kemungkinan kebakaran tanah gambut dan kawasan lalang di dua daerah tumpuan iaitu Bachok serta Pasir Puteh.

“Kami mempunyai kekuatan hampir 1,000 anggota termasuk anggota bomba bantuan yang akan membantu tugas-tugas penyelamatan orang awam,” katanya.