DSA: LTAT, PT Pindad Indonesia meterai MoC untuk perhebat kerjasama

Hishammuddin (kiri) bersama Prabowo Subianto (kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diwakili Ahmad Nazim, (dua, kiri) dan PT Pindad yang diwakili Abraham Mose (dua, kanan) sempena Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 di MITEC pada Isnin. - Foto Bernama
Hishammuddin (kiri) bersama Prabowo Subianto (kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang diwakili Ahmad Nazim, (dua, kiri) dan PT Pindad yang diwakili Abraham Mose (dua, kanan) sempena Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022 di MITEC pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) and PT Pindad Indonesia pada Isnin menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) untuk memperhebat kerjasama, dengan kedua-dua pihak berminat membangunkan industri pertahanan tempatan selanjutnya di negara masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman berkata, ini akan menjadi langkah pertama bagi kedua-dua pihak untuk bekerjasama supaya Malaysia dan Indonesia dapat memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing.

"Pelaburan LTAT dalam industri pertahanan tempatan melalui syarikat penerima pelaburannya kini berjumlah RM244.2 juta dengan nilai perolehan kontrak semasa keseluruhan berjumlah RM11.8 bilion.

"Kami akan terus meneroka peluang berdaya maju secara komersial untuk meningkatkan lagi pelaburan dalam sektor ini selaras dengan rangka kerja peruntukan aset strategik LTAT,” katanya dalam sidang media di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di sini, pada Isnin.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ahmad Nazim bagi pihak LTAT manakala PT Pindad diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Abraham Mose.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Prabowo Subianto turut hadir menyaksikan majlis itu.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama tersebut, Ahmad Nazim berkata, delegasi diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin telah melawat PT Pindad di Bandung, November lepas dan telah menyaksikan keupayaan syarikat itu sebagai syarikat pertahanan terbesar di Indonesia.

Beliau berkata, LTAT turut mengintai peluang perniagaan lain dan kerjasama dengan negara atau syarikat lain untuk memperkukuh pertahanan negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mose berkata, PT Pindad bukan sahaja menantikan kerjasama pertukaran kepakaran malah mengembangkan rangkaian pelanggan berpotensi untuk produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

PT Pindad ialah syarikat milik kerajaan yang terlibat dalam pengeluaran produk ketenteraan dan komersial termasuk pistol, senapang, peluru, kenderaan khusus, produk piroteknik, bahan peledak, produk mekanikal, elektrikal optikal dan optoelektronik.

Syarikat berkenaan merupakan pembekal utama persenjataan dan amunisi untuk Tentera Nasional Indonesia dan badan beruniform lain bagi menyokong keupayaan pertahanan dan keselamatan Indonesia.

PT Pindad juga menjalankan aktiviti pembangunan, kejuruteraan dan fabrikasi serta penyelenggaraan. - Bernama