Pemuda Pas selar ADUN Keranji

Akmal
A
A

IPOH - Pemuda Pas Perak menyifatkan ADUN Keranji, Chong Zhemin sebagai pembenci Pas ekstrem apabila mengaitkan ketiadaan pawagam di Kelantan dengan jumlah pesakit HIV di negeri itu.

Ketuanya, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, wakil rakyat DAP itu sepatutnya membuat kajian sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan kerana Kelantan bukanlah antara negeri tertinggi HIV malah statistik 2017 menunjukkan bilangan penghidap HIV di Pulau Pinang 193 kes melebihi dari Kelantan.

Katanya, tiga negeri paling tinggi kes HIV merupakan Selangor 968 kes diikuti, Wilayah 464 kes dan Johor 347 kes.

"Tindakan Kerajaan Kelantan tidak membenarkan pawagam dibuka merupakan salah satu langkah pencegahan. Naif sekali sekiranya tindakan ini dianggap ekstrem kemudian mengaitkan pula dengan HIV.

"Kenyataan tidak rasional tanpa fakta dan tiada kajian menunjukkan bahawa YB Chong Zhemin merupakan ekstremis pembenci PAS," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam Zhemin dalam kenyataannya mempertikai keputusan kerajaan Kelantan tidak membenarkan kewujudan pawagam di negeri itu.

Malah dalam kenyataan itu juga, ADUN DAP itu turut mempersoalkan jumlah penghidap HIV di Kelantan yang tinggi di sebalik larangan pawagam itu.

Sementara itu, Mohd Akmal menyarankan semua pihak mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.

"Kami menyokong tindakan Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mengawal dan menangani gejala sosial.

"Kami juga mendesak agar Kerajaan Negeri Perak memikirkan dan membentang langkah bersepadu dalam menangani isu gejala sosial yang semakin parah di Perak," katanya.

Beliau berkata, Pemuda Pas Perak komited untuk bersama-sama membantu menggerakkan usaha menangani isu gejala sosial demi kesejahteraan Perak.