JPS Kelantan akan jumpa mangsa banjir, bina empat pintu air

Siti Zailah menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Program Semarak Skuad Waja Negeri Kelantan 2022 di AEON Mall, Kota Bharu pada Sabtu.
Siti Zailah menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Program Semarak Skuad Waja Negeri Kelantan 2022 di AEON Mall, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan akan mengadakan pertemuan dengan mangsa banjir bagi membincangkan isu berkait Projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pembinaan pintu air menjadi antara perkara yang akan dibincangkan pada pertemuan itu nanti.

"Berpandukan kepada pelan projek PLSB, kerajaan akan membina empat pintu air bagi mengatasi masalah tersebut," katanya selepas diminta mengulas mengenai penduduk Rantau Panjang mengadakan demonstrasi aman bagi mendesak pihak kerajaan mewujudkan lebih banyak pintu air di kawasan tebatan banjir bawah PLSB Sungai Golok (Kesban) dengan kadar segera.

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Semarak Skuad Waja Negeri Kelantan 2022 di AEON Mall, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, pertemuan yang akan berlangsung dalam masa terdekat membolehkan penduduk Rantau Panjang yang terjejas dengan banjir mendapat maklumat jelas berhubung PLSB itu.

Siti Zailah berkata, pertemuan dan perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berhubung perkara tersebut telah berlangsung sebelum ini.

"Alhamdulillah, kerajaan memberikan komitmen melaksanakan perkara tersebut dengan secepat mungkin. Ia mempunyai banyak fasa melibatkan tebing Sungai Golok. Fasa dua dalam proses persediaan dan kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM465 juta," ujarnya.

Jelasnya, faktor hujan lebat berterusan menjadi penyumbang kepada banjir teruk baru-baru ini dan bukan disebabkan oleh PLSB semata-mata.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, seramai 150 mangsa banjir mengadakan demonstrasi aman selama satu jam berhampiran Sungai Lanchang di Rantau Panjang bagi mendesak pihak kerajaan mewujudkan lebih banyak pintu air di kawasan tebatan banjir bawah Projek Fasa Satu PLSB Sungai Golok (Kesban) dengan kadar segera.