Argentina pamer aksi bertenaga tewaskan Venezuela

Penyerang Argentina, Lionel Messi (kiri) mengawal bola melepasi pemain Venezuela, Yangel Herrera pada aksi kelayakan Piala Dunia di Stadium La Bombonera, Buenos Aires pada Sabtu. - Foto EPA
Penyerang Argentina, Lionel Messi (kiri) mengawal bola melepasi pemain Venezuela, Yangel Herrera pada aksi kelayakan Piala Dunia di Stadium La Bombonera, Buenos Aires pada Sabtu. - Foto EPA
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Biarpun sudah mengesahkan slot ke Piala Dunia 2022, Argentina tetap mempamerkan aksi bertenaga bagi melakar kemenangan 3-0 ke atas Venezuela pada saingan kelayakan Piala Dunia Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL), pada Sabtu.

Menurut pengendali Argentina, Lionel Scaloni, kesebelasan skuad Albicaleste itu telah beraksi cemerlang di sepanjang perlawanan bagi memastikan kemenangan berkenaan.

“Saya kagum dengan semangat juang yang ditunjukkan kesebelasan pemain pada perlawanan ini walaupun tahu sudah mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia.

“Kesemua mereka tetap beraksi seperti biasa dengan melancarkan asakan bertubi-tubi ke pintu gol lawan bagi menjaringkan gol.

“Oleh itu, saya harap prestasi seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi terus melakar kemenangan dan mempertahankan rekod tanpa kalah pada aksi kelayakan kali ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Nicolas Gonzalez membuka jaringan buat Argentina sebelum pemain gantian Angel Di Maria menyumbat gol kedua pada minit ke-79 dan Lionel Messi menyempurnakan kemenangan dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-82.

Kemenangan itu menyaksikan Argentina mengukuhkan kedudukan dengan meraih 38 mata selain mengekalkan rekod tanpa kalah pada aksi kelayakan kali ini.

Sementara itu, Scaloni turut menjangkakan skuad kendaliannya itu bakal berdepan tentangan sengit daripada Ecuador pada aksi terakhir saingan kelayakan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesebelasan Ecuador pastinya akan beraksi bermati-matian bagi mencatatkan kemenangan pada aksi terakhir berkenaan.

“Saya menjangkakan tentangan sengit daripada Ecuador pada aksi terakhir saingan kelayakan Rabu nanti, namun dalam masa sama saya juga ada matlamat tersendiri iaitu untuk memastikan pasukan ini (Argentina), mengekalkan rekod tanpa kalah,” katanya.