'Kerjasama baik penduduk Kuala Langat salur maklumat'

Ahmad Ridhwan memeriksa barisan kawad sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 di IPD Kuala Langat pada Jumaat.
Ahmad Ridhwan memeriksa barisan kawad sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 di IPD Kuala Langat pada Jumaat.
A
A
A

BANTING - Masyarakat diharap dapat terus membantu polis dalam menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kerjasama penduduk di daerah Kuala Langat adalah amat baik khususnya dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelakuan dan kegiatan kes jenayah di daerah ini.

Menurutnya, hasilnya, polis Kuala Langat berjaya merekodkan banyak kejayaan dalam menumpaskan kumpulan penjenayah, kes dadah dan bunuh.

"Kerjasama orang awam bantu polis cegah jenayah sangat baik dan kita dapat banyak kejayaan dengan hasil bantuan orang ramai dalam menyelesaikan kes yang berlaku.

"Ada satu kes bunuh dibantu dengan bantuan awam, kes curi besi dan lain-lain. Kita minta orang awam terus salurkan maklumat kepada pihak polis apa juga berkenaan jenayah," katanya selepas sambutan Hari Polis Ke-215 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada Jumaat.

Mengulas berkenaan masalah dadah di Kuala Langat, Ahmad Ridhwan menjelaskan, pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan jihad dadah dalam memfokuskan usaha perangi dadah.

Katanya, IPD Kuala Langat telah mempertingkatkan usaha membanteras penyalahgunaan dadah dan banyak kes kejayaan direkodkan berdasarkan kenyataan media sebelum ini.

"Kita akan terus pertingkat usaha untuk banteras gejala dadah dan meminta orang awam terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya ada dikesan penyalahgunaan dadah berlaku di mana-mana sahaja," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sempena Sambutan Hari Polis ke-215, Ahmad Ridhwan akan memastikan IPD Kuala Langat mencapai objektif pucuk pimpinan PDRM dalam meneruskan hasrat Ketua Polis Negara untuk menangani ancaman jenayah dan mempertingkatkan khidmat kepada masyarakat.

"Bagi IPD Kuala Langat, kita komited membantu masyarakat dalam apa juga masalah, bukan sekadar jenayah sahaja tapi masalah seperti bencana dan lain-lain. Ini selaras dengan tema 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'," katanya.