Petaling Jaya bakal jadi 'A Next Generation City' 2030

Amirudin (kiri) dan Mohamad Azhan menyempurnakan Majlis Pelancaran Pasar PJKITA @ Sri Damansara di Bandar Sri Damansara pada Jumaat.
Amirudin (kiri) dan Mohamad Azhan menyempurnakan Majlis Pelancaran Pasar PJKITA @ Sri Damansara di Bandar Sri Damansara pada Jumaat.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhasrat menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya 'A Next Generation City' yang inklusif, terhubung, kolaboratif, berekologi, sihat, dinamik, berteknologi digital.

Malah bandar raya itu akan dijadikan sebagai bandar raya berdaya tahan yang berkebolehan menguruskan kemampanannya bagi mendepani gangguan dan kejutan terhadap alam sekitar, komuniti dan ekonomi.

Selaras dengan matlamat tersebut, pembangunan pembangunan mampan untuk satu tempoh jangka masa panjang disediakan MBPJ iaitu 'Petaling Jaya Pintar, Mampan Dan Berdayatahan 2030 (PJSSR 2030)'.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan MD Amir berkata, di bawah PJSSR 2030, MBPJ menetapkan 10 projek bertema meliputi Bandar Pintar, Bandar Inklusif, Bandar Rendah Karbon, Bandar Mesra Kanak-kanak dan Bandar Pembelajaran.

Menurutnya, lima lagi projek bertema itu adalah Bandar Cergas Ekonomi, Bandar Ekonomi Pekeliling, Bandar Masyarakat 5.0, Bandar Selamat dan Berdaya Tahan serta Bandar e-Takbir Urus menjelang 2030 kelak.

"Ke arah merancakkan ekonomi perbandaran di bawah 'thematic economical vibrant city', beberapa fokus utama akan diberi perhatian termasuklah pelaksanaan 'urban regeneration', menggalakkan pelaburan dari dalam dan luar negara, pembangunan sektor pelancongan, membangunkan usahawan dalam sektor informal dan menyediakan pusat ekonomi setempat yang lengkap dan sempurna seperti bangunan Pasar PJKITA @ Sri Damansara," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pasar PJKITA @ Sri Damansara di Bandar Sri Damansara pada Jumaat.

Majlis pelancaran pasar dibina dengan kos sebanyak RM5.9 juta itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping.

Artikel Berkaitan:

Bangunan Pasar PJKITA @ Sri Damansara merupakan pasar awam kesembilan di Petaling Jaya, namun ia adalah projek pasar dan medan selera awam pertama menggunakan pendekatan lebih moden, inklusif dan kondusif selari dengan penjenamaan PJKITA dilancarkan MBPJ pada 2016.

Amirudin (kanan) menandatangi plak pada Majlis Perasmian Pasar PJKITA @ Sri Damansara pada Jumaat.
Amirudin (kanan) menandatangi plak pada Majlis Perasmian Pasar PJKITA @ Sri Damansara pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohamad Azhan berkata, MBPJ telah menggunakan konsep PJKITA bagi memberi nafas baharu dalam pembangunan pasar awam melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan pasar lebih mesra orang kurang upaya, teratur, bersistematik dan selesa.

Selain itu katanya, bangunan pasar juga mengintegrasikan komponen bangunan hijau seperti Sistem Pengumpulan Air Hujan (SPAH) dan penyediaan 'grease trap' untuk membolehkan sisa-sia buangan seperti minyak dapat diproses dengan lebih baik dan tidak dibuang terus ke parit atau longkang di sekeliling pasar.

"Turut disediakan pusat kitar semula bagi menggalakkan aktiviti 'circular economy' di kalangan para peniaga dan penduduk setempat," katanya.

Bangunan pasar itu dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan seperti 48 lot gerai pasar basah dan kering di aras bawah, 18 unit medan selera di aras satu, sembilan unit gerai pelbagai dan satu unit pejabat pengurusan MBPJ serta lif, tandas dan surau lelaki dan perempuan.

Tambahnya, memahami keadaan semasa peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19, MBPJ turut mengumumkan pengecualian kadar sewa selama tiga bulan iaitu mulai April hingga Jun ini kepada peniaga di Pasar PJKITA @ Sri Damansara.