Rasa teruja bertukar sedih di Afghanistan

Kumpulan pelajar perempuan hanya sempat mengikuti sesi pembelajaran selama beberapa jam pada Rabu. - Foto AFP
Kumpulan pelajar perempuan hanya sempat mengikuti sesi pembelajaran selama beberapa jam pada Rabu. - Foto AFP
A
A
A

KABUL - Atiya Azimi berjaga sepanjang malam semata-mata untuk mengemas beg sekolahnya kerana teruja untuk kembali semula mengikuti sesi pembelajaran yang tertangguh sejak pemerintah Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos lalu.

Tetapi, kegembiraan itu hanya dirasai untuk tempoh yang singkat.

Beberapa jam selepas sesi persekolahan itu bermula, kebenaran tersebut bagaimanapun ditarik balik secara tiba-tiba.

“Kami diarah pulang ke rumah sehingga arahan lain dikeluarkan. Apa salah kami? Mengapa golongan wanita dan remaja perempuan perlu berdepan situasi seperti ini? Saya merayu pemerintah Emiriah Islam supaya membenarkan kelas ini diteruskan.

“Saya tidak tidur sepanjang malam kerana terlalu gembira dapat menjejakkan semula kaki ke sekolah,” kata pelajar gred 12 di Zarghona Girls School di ibu kota Kabul itu dengan nada sedih.

Sejak beberapa bulan lalu, pelajar perempuan di kebanyakan wilayah dilarang bersekolah selepas penutupan akibat pandemik Covid-19 di bawah kerajaan terdahulu.

Taliban hanya memberikan kebenaran kepada murid perempuan yang masih di peringkat sekolah rendah dan pelajar lelaki serta menetapkan peraturan pengasingan jantina.

Minggu lalu, pengumuman Kementerian Pendidikan tentang pelajar perempuan dibenarkan kembali ke sekolah pada semester baharu yang bermula Rabu telah memberi harapan baharu kepada kumpulan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Tetapi, keputusan pusingan U yang dibuat kepimpinan Taliban telah mengecewakan banyak pihak, malah golongan guru.

“Harapan kami telah musnah,” ujar Muthahera Arefi, 17, ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kabul.

Sementara itu, ibu kepada empat anak perempuan, Amina Haidari yang kehilangan pekerjaan di suruhanjaya pilihan raya kerana dimansuhkan pemerintah Taliban juga kecewa dengan peristiwa tersebut.

“Segala kenyataan dibuat Taliban mungkin hanya untuk menyedapkan hati. Kami tidak lagi akan percaya dengan kata-kata mereka yang berjanji mahu membuka semula sekolah,” tambahnya lagi.

Di seluruh negara, keadaan agak gamat selepas kumpulan pelajar perempuan kembali menyertai sesi persekolahan dan bertemu semula rakan kelas mereka sebelum pengumuman terbaharu Taliban mengubah situasi tersebut menjadi suram.

Guru di Sekolah Perempuan Tajwar Sultana di Kabul, Alia Hakimi berkata, keputusan mengejut seperti itu menyebabkan pelajar perempuan menjadi lebih tertekan.

Paling menyedihkan, kumpulan pelajar di salah sebuah sekolah terbesar, Rabia Balkhi dikatakan tidak sempat memasuki pintu pagar sekolah.

“Pengawal tidak benarkan kami masuk ke sekolah walaupun sudah merayu meminta belas kasihan mereka. Kami telah bersedia mematuhi peraturan ditetapkan pemerintah Taliban termasuk memakai hijab. Kami gesa mereka tidak menafikan hak kami untuk mendapatkan pendidikan,” kata seorang remaja yang enggan identitinya didedahkan.

Perbezaan ideologi?

Kementerian Pendidikan dikatakan tidak memberikan penjelasan yang jelas tentang keputusan mengejut itu yang dibuat selepas mesyuarat pada lewat Selasa dan hanya memaklumkan ia adalah urusan kepimpinan negara tersebut.

Sebelum ini, Taliban mengarahkan pengasingan jantina untuk murid berusia 12 tahun hingga pelajar berumur 19 tahun walaupun kebanyakan sekolah adalah satu jantina dan beroperasi mengikut prinsip Islam.

Antara pelajar yang terpaksa kembali semula ke rumah masing-masing selepas keputusan saat akhir itu diumumkan Taliban. - Foto AFP
Antara pelajar yang terpaksa kembali semula ke rumah masing-masing selepas keputusan saat akhir itu diumumkan Taliban. - Foto AFP

Di Zarghina High School, kumpulan pelajar dilihat menangis ketika mengemas semula buku mereka setelah kelas dihentikan serta-merta.

“Ada pelajar saya yang enggan pulang. Saya sedih melihat riak wajah mereka yang menahan sebak,” kata guru di Omara Khas Girls School, Palwasha.

Sementara itu, Wakil Khas Amerika Syarikat (AS) ke Afghanistan, Rina Amiri menyifatkan langkah itu melemahkan lagi keyakinan umum terhadap komitmen Taliban.

“Keputusan mereka telah memusnahkan harapan kebanyakan keluarga yang mahukan masa depan lebih cerah buat anak gadis mereka,” ujarnya.

Pelajar di Sekolah Tinggi Perempuan Sadar Kabuli yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu turut mengadakan protes secara aman.

Pakar isu Afghanistan di Institut Keamanan AS, Andrew Watkins berkata, situasi tersebut mencerminkan wujud keretakan dalam kepimpinan Taliban.

“Perubahan saat akhir itu jelas berpunca daripada perbezaan ideologi dalam gerakan itu. Sebahagian daripadanya mungkin bimbang dengan tanggapan pengikut mereka jika pelajar perempuan dibenarkan kembali ke sekolah,” jelasnya merujuk kepada larangan ketika era pemerintahan pada 1996-2001.

Di bawah kepimpinan Taliban, ia turut mengenakan siri sekatan terhadap wanita termasuk melarang golongan itu memegang jawatan di agensi kerajaan.

Difahamkan, golongan remaja perempuan yang telah menamatkan sesi pengajian mereka juga terpaksa menganggur kerana gagal mendapat tempat dalam sektor pekerjaan di negara itu.

“Bagaimana dengan masa depan kami?” ujar Heela Haya, 20, dari Kandahar yang memutuskan untuk berhenti sekolah. Ia sudah menjadi perkara biasa di negara Asia Selatan itu yang sebahagian besar daripadanya berpunca daripada isu kemiskinan atau konflik. - AFP