Kapal persiaran mewah disita, hampir 100 penumpang terkandas

SINGAPURA – Sebuah kapal persiaran mewah yang menawarkan konsep kediaman terapung untuk pelayaran mengelilingi dunia, MV Odyssey, ditahan di pelabuhan Singapura susulan pertikaian kewangan membabitkan pengendalinya, Villa Vie Residences yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) mengesahkan kapal itu ditahan pada Ahad atas perintah mahkamah selepas tiba dari Kemboja. Kapal berkenaan kini berlabuh di perairan Singapura tanpa penumpang, manakala anak kapal dilaporkan berada dalam keadaan baik dan kebajikan mereka diuruskan pihak pemiutang.
Penahanan itu dipercayai berkaitan tuntutan kewangan terhadap pengendali kapal yang dilaporkan mempunyai hutang kira-kira AS$500,000 (RM2.03 juta) kepada sebuah pembekal, namun pihak yang membuat tuntutan belum disahkan.
Sebelum ini, kira-kira 200 penghuni kapal berkenaan diarahkan turun di pelabuhan Sihanoukville, Kemboja pada 28 Oktober selepas Villa Vie Residences mengumumkan penggantungan operasi akibat kenaikan mendadak kos bahan api.
Kapal sepanjang kira-kira 200 meter itu kemudiannya meninggalkan Kemboja pada 4 November tanpa penumpang, manakala kira-kira 98 bekas penghuni masih berada di negara itu setakat tarikh berkenaan. Mereka kini berada di beberapa lokasi termasuk Sihanoukville, Kampot, Kep, Siem Reap dan Phnom Penh.
Situasi itu menyebabkan sebahagian penumpang berdepan kerugian kewangan besar selepas membayar puluhan ribu hingga ratusan ribu dolar untuk menetap di kapal berkenaan.
Seorang penumpang dari Amerika Syarikat dilaporkan membayar AS$350,000 untuk sebuah kabin, namun hanya sempat tinggal di kapal selama 26 hari sebelum diarahkan turun.
Kos bahan api bulanan yang sebelum ini purata AS$1,800 bagi setiap kabin turut meningkat kepada anggaran AS$6,000 hingga AS$8,000 di beberapa kawasan Asia, sekali gus menjadikan operasi pelayaran itu tidak lagi mampu diteruskan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
