Indonesia ambil tindakan tegas terhadap 11 syarikat disyaki terlibat kebakaran hutan

JAKARTA - Indonesia merancang membatalkan, mengehadkan atau menolak pemberian hak pengusahaan tanah membabitkan 11 syarikat yang disyaki terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan, susulan penilaian kerajaan terhadap kawasan konsesi masing-masing.
Menteri Agraria dan Perancangan Ruang Nusron Wahid berkata, langkah itu diambil berdasarkan syor Badan Siasatan Jenayah Polis Negara Indonesia.
Menurut beliau, kementeriannya telah membahagikan 11 syarikat berkenaan kepada lima kategori berdasarkan hasil penilaian yang dijalankan.
"Data telah diserahkan dan kini hanya penyediaan draf surat keputusan yang masih belum selesai. Kami akan mengumumkannya tidak lama lagi," kata beliau menurut kenyataan Kementerian Agraria dan Perancangan Ruang.
Pengumuman itu menyusul selepas mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Dudung Abdurachman di Jakarta pada Isnin.
Nusron berkata, beberapa syarikat terbabit mempunyai pemilik asing yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Korea Selatan, Malaysia dan Singapura, manakala sebahagian lagi turut mempunyai pelabur atau pemegang saham tempatan yang identitinya belum dapat didedahkan.
Menurut kementerian itu, tiga syarikat berdepan pembatalan sepenuhnya hak mengusahakan tanah (HGU) melibatkan kawasan seluas kira-kira 23,274 hektar di Kalimantan Selatan dan Kalimantan Barat.
Tindakan itu dicadangkan selepas kebakaran menjejaskan lebih 50 peratus kawasan konsesi mereka, selain kekurangan kemudahan dan infrastruktur, kejadian kebakaran berulang serta pelanggaran syarat penggunaan tanah.
Sebuah lagi syarikat di Kalimantan Barat tidak akan diberikan lanjutan atau pembaharuan HGU selepas konsesi seluas 2,300 hektar miliknya tamat pada 2020.
Tiga syarikat lain pula tidak akan diberikan HGU baharu, manakala kementerian itu turut merancang mengadakan penyelarasan dengan Kementerian Pertanian berhubung kemungkinan pembatalan lesen perniagaan perladangan mereka.
Sementara itu, sebuah lagi syarikat di Kalimantan Barat berdepan pembatalan sebahagian HGU bagi kawasan konsesi seluas kira-kira 1,510 hektar.
Kementerian itu memaklumkan bahawa baki tiga syarikat masih dalam penilaian bagi menentukan sama ada HGU mereka perlu dibatalkan sebahagian atau sepenuhnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
