Kerajaan setuju MAFI tangani masalah tempoh TOL

Ismail Sabri. Foto Bernama
Ismail Sabri. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan pada prinsipnya bersetuju supaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi menangani masalah tempoh Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang dihadapi oleh usahawan-usahawan tani untuk aktiviti pertanian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bertujuan agar dapat memanjangkan tempoh sewaan atau pajakan untuk mewajarkan pelaksanaan projek-projek pertanian berdaya maju.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mengambil maklum hala tuju sektor agro makanan negara yang telah digariskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan bersetuju untuk memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan menggalak pertanian pintar.

“Mesyuarat bersetuju agar ketiga-tiga kertas yang dibentangkan iaitu Cadangan Modenisasi dan Pertanian Pintar Melalui Pemerkasaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Pembangunan Bakat Usahawan Tani Negara 2022-2027 dan Transformasi Pertanian Malaysia dinilai secara bersekali sebagai satu inisiatif komprehensif mengukuhkan sektor pertanian negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbincangan itu melibatkan pembentangan-pembentangan oleh pihak MAFI, Universiti Putra Malaysia dan Syarikat Aerodyne Group bersama ahli-ahli EAC dan tokoh usahawan tani Malaysia.

“Mesyuarat juga menetapkan bahawa Sekretariat EAC; Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Kewangan dan MAFI mengambil tindakan selanjutnya bagi melaksanakan cadangan kerjasama awam swasta yang dibentangkan oleh Aerodyne Group melalui kertas pembentangan Transformasi Pertanian Malaysia dan keperluan tanah berkeluasan 40 hektar bagi Projek Perintis.

“Melangkah kehadapan, kita berharap agar sektor tani dan industri pengeluaran makanan negara dapat bergerak maju dan memacu usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan negara dan Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: